Angkatan Muda KEADILAN (AMK) kesal dengan campur tangan keterlaluan pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menghalang Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada hadir memenuhi jemputan persatuan pelajar universiti itu untuk berucap dalam satu majlis yang bakal dilangsungkan esok.
Lebih mengejutkan, AMK dimaklum wujud campur tangan daripada pihak Bukit Aman untuk memastikan halangan ini dikuatkuasakan.
Ini bukanlah halangan pertama yang dikenakan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak beliau dipecat daripada kerajaan. Ironinya, banyak universiti terbilang di peringkat antarabangsa, termasuk antaranya Universiti Oxford, Universiti Georgetown dan Universiti Stanford, bukan sahaja mengundang beliau berucap tetapi turut memberi ruang untuk beliau menjadi tenaga pengajar jemputan di sana.
Malah, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kini telah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa reformasi pendidikan di dunia Islam. Ini tidak termasuk undangan dan lantikan oleh pelbagai badan antarabangsa yang lain.
Undangan, jemputan dan pelantikan ini jelas merupakan satu bentuk penghormatan dan juga perakuan akan sumbangan, pengalaman dan ilmu yang dimiliki Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Halangan oleh pihak pentadbiran universiti, bukan sahaja di UIAM, jelas menunjukkan ada di kalangan pihak pentadbiran universiti membuat keputusan politik yang sempit dan tunduk kepada tekanan untuk membuat keputusan mengikut garis parti.
Adalah malang jika pihak pentadbiran universiti gagal untuk menghayati semangat kebebasan akademik, dan mengiktiraf bahawa semua wakil rakyat, baik di peringkat Persekutuan atau negeri, telah dipilih oleh majoriti di kawasan masing-masing, dan adalah sebahagian daripada anggota badan legislatif.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja ahli parlimen tetapi juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Beliau juga pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan rekod cemerlang.
Selain daripada itu, Falsafah Pendidikan Negara dibentuk semasa beliau menjadi Menteri Pendidikan. Lebih dekat lagi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga merupakan bekas Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan seorang yang cukup dikenali dengan perjuangan Islamisasi ilmu dan pembudayaan ilmu sejak usia mudanya.
AMK menyeru pihak pentadbiran UIAM bersikap profesional dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak dalam mempertahankan budaya ilmu dan mengangkat martabat universiti.