Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Khairy membuktikan beliau tidak bebas dari sikap perkauman UMNO

Menilai daripada kenyataan terkini, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin ternyata gagal meneruskan lakonan sebagai seorang yang “sederhana” atau “liberal”, sebaliknya telah membuktikan kepada dunia bahawa beliau tidak terkecuali daripada keangkuhan dan juga sikap perkauman yang membelenggu partinya.

Tugas mana-mana pemimpin ialah memimpin. Memimpin membawa maksud menggerakkan pengikut ke hadapan. Ia bermaksud mendidik dan mengangkat kedudukan pengikut, bukan mengukuhkan lagi imaginasi ketakutan dan rasa tidak puas hati yang ada.

UMNO, dinilai daripada kenyataan dan tindakan terkini pemimpin seperti Najib Razak dan Khairy, cenderung melakukan sebaliknya.

Mereka kelihatan mahu melihat rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu, terus takut berbanding semakin yakin dan berfikiran terbuka.

Mereka lebih rela berlakunya perpecahan di kalangan pelbagai kelompok dalam masyarakat berbanding perpaduan dan kebersamaan.

Dalam memungkiri janji memansuhkan Akta Hasutan, mereka jelas menunjukkan rasa tidak percaya bahawa orang ramai boleh berfikir dan menjaga diri sendiri.

Era “kerajaan tahu segalanya” masih berlangsung dan meluas di Malaysia pada hari ini, di mana janji-janji perubahan dan transformasi tidak lebih daripada sekadar omong-omong kosong.

Tidak ada salahnya – sebagaimana juga disebut oleh ramai pemimpin UMNO – apabila mana-mana pihak bercakap mengenai masalah dan keperluan masyarakat Melayu. Namun, adalah salah untuk membingkaikan isu-isu yang ada dalam konteks “kita lawan mereka”.

Cukup berbahaya dan sangat tidak bertanggungjawab – sebagaimana yang turut dilakukan oleh beberapa pemimpin UMNO – untuk mendakwa banyak masalah, sama ada berkaitan sosio-ekonomi dan politik atau agama yang melanda masyarakat Melayu pada hari ini – sebagai kesalahan yang berpunca daripada masyarakat bukan Melayu.

Pada akhirnya, kita yang harus bertanggungjawab terhadap nasib diri sendiri.

Adalah salah untuk sesiapa juga percaya bahawa masyarakat Melayu boleh digerakkan ke hadapan dengan mengancam atau menjadikan rakyat Malaysia yang lain sebagai warga kelas kedua.

Pemikiran begini bukan sahaja telah lapuk tetapi juga tidak menggambarkan perwatakan sebenar Melayu dan Muslim.

Masyarakat Melayu mempunyai pilihan. Daripada satu perspektif, kita boleh menjarakkan diri daripada rakyat Malaysia yang lain dan perkembangan dunia.

Selain itu ialah kita menerima bahawa realiti di negara kita dan dunia sedang berubah dan kita juga perlu berubah, dengan segala kesukaran dan perbezaan yang ada.

Untuk memilih yang kedua, masyarakat Melayu mesti bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang lain, daripada semua kaum dan kepercayaan agama.

Saya yakin pilihan pertama hanya akan membawa negara kita kepada situasi lembap malah menyusut. Pilihan kedua, meskipun sukar, akan menjamin masa depan kita bersama.

Ketika negara dan rakyat memerlukan kepimpinan untuk membuat pilihan ini, nampak jelas elit UMNO lebih rela rakyat tidak bersatu dengan terus menanam prejudis dan melagakan antara satu sama lain.

Mereka nampaknya lebih mementingkan laba politik berbanding kepentingan masyarakat dan negara.

Rakyat Malaysia berhak mendapat kepimpinan yang lebih baik daripada ini.