Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Mereka yang berlagak nasionalis perlu fokus tingkatkan sekolah kebangsaan

Gesaan Mohamad Azli Mohemed Saad, Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara bagi Kerajaan Pusat membincangkan pemansuhan sekolah-sekolah jenis Cina pada Perhimpunan Umum yang seterusnya adalah sangat merunsingkan.

Menurut laporan media, Azli telah menyatakan bahawa sekolah-sekolah jenis Cina Malaysia telah dieksploit oleh parti-parti pembangkang untuk mewujudkan perasaan kebencian terhadap kaum-kaum lain dan untuk sentimen perkauman dan anti-kerajaan.

Pertama sekali, kenyataan Azli bahawa parti pembangkang sedang memanipulasikan sekolah-sekolah vernakular untuk tujuan jahat adalah tidak benar sama sekali.

Keduanya, Artikel 152(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk pendidikan vernakular. Kenyataan Azli merupakan satu contoh lagi yang UMNO dan perkakas mereka hanya menggunakan Perlembagaan apabila sesuai dengan tujuan mereka.

Benar, kepelbagaian aliran pendidikan di Malaysia menimbulkan cabaran kepada perpaduan negara.

Walaubagaimanapun, hakikatnya adalah “Kontrak Sosial” Malaysia menjamin hak untuk pendidikan vernakular dan ini tidak boleh diubah tanpa persetujuan semua kumpulan-kumpulan etnik yang terlibat.

Tidak dinafikan bahawa banyak sekolah-sekolah vernakular Cina Malaysia lebih “berbilang kaum” berbanding sekolah kebangsaan, atau saya berani katakan –parti-parti berasaskan kaum yang lain.

Anak-anak daripada semua kaum, termasuk kaum Melayu, sedang berkembang dalam sekolah-sekolah vernakular pada hari ini.

Sememangnya jumlah kemasukan pelajar ke sekolah antarabangsa telah bertambah (berikutan liberalisasi yang diperkenalkan oleh Menteri Pendidikan sebelum ini Hishammudin Hussein), selain kemasukan ke sekolah swasta yang menawarkan kurikulum nasional atau sukatan pelajaran berunsurkan Islam dan penambahan didikan di rumah menunjukkan pengenepian aliran pendidikan kebangsaan bukanlah satu fenomena yang dihadkan kepada satu bangsa sahaja.

Akhirnya, pendidikan adalah pilihan ibu bapa. Ibu bapa akan memilih aliran yang akan memberi pendidikan terbaik dan suasana pembelajaran yang menyeluruh.

Idea bahawa pendidikan sepatutnya “satu sistem yang sesuai untuk semua” sudah lapuk dan akan merosakkan ekonomi Malaysia dalam jangka masa yang lama apabila pelabur akan menuju ke arah negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan yang fleksibel dan menghasilkan modal insan yang lebih baik dan produktif.

Tahap pelajar-pelajar Malaysia dalam penyelesaian masalah berada di kedudukan 39 daripada 44 negara di dalam laporan Programme for International Student Assessment (PISA) terbitan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) pada awal tahun ini menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara sedang mengagalkan anak-anak kita.

Kita tidak patut membazirkan masa dan tidak perlu menambahkan ketegangan kaum dengan memansuhkan atau menyusahkan sekolah-sekolah vernakular. Walhal, usaha-usaha kita sepatutnya fokus ke atas peningkatan keadaan sekolah-sekolah jenis kebangsaan supaya menjadi pilihan pertama untuk semua ibubapa warga Malaysia.

Ramai ibubapa telah berkata kepada saya bahawa mereka teringin menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana jauh lebih murah tetapi keberatan kerana kualiti pendidikan tidak cukup baik dan juga kerana persekitaran yang kurang menyeluruh di sana.

Mereka yang berlagak nasionalis dan patriotik seperti Azli sepatutnya memberi perhatian kepada peningkatan tahap pendidikan dan keadaan di sekolah-sekolah kebangsaan daripada tidak habis-habis mengungkit tentang sekolah-sekolah vernakular.

Kita harus berusaha untuk menggalakkan anak-anak kita menuju ke hadapan dan bukanlah mengheret mereka ke bawah.

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.