Keadaan ekonomi negara yang tidak stabil akibat kegagalan kerajaan untuk mengurus ekonomi dengan baik telah membangkitkan kerisauan orang ramai terhadap isu pengangguran.
Maka keputusan kerajaan untuk mengkaji satu skim insurans pekerjaan untuk tenaga kerja Malaysia amatlah menggalakkan kerana ia telah menjadi satu keperluan dengan keadaan ekonomi semasa.
Pada tahun lepas sahaja, 37,699 orang telah dibuang kerja. Walaupun angka tersebut dilihat sebagai peningkatan yang baik daripada tahun sebelumnya, tetapi itu hanya kerana tahun 2015 mencatat rekod terburuk dengan 44,343 orang hilang pekerjaan.
Dengan merujuk kepada angka-angka ini, satu perancangan untuk menyediakan skim insurans pekerjaan yang dinamik berniat melindung warga kerja yang hilang pekerjaan, dan pada masa yang sama memberi insentif kepada mereka untuk terus mencari pekerjaan sepatutnya mendapat sokongan semua.
Skim ini, menurut Menteri Sumber Manusia Richard Riot, akan memberi manfaat kepada 6.5 juta orang, kebanyakannya merupakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana – dan mereka ini juga golongan yang paling terkesan di dalam keadaan ekonomi sebegini.
Malah, menurut Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO), 72 negara di dunia mempunyai faedah pengangguran yang pelbagai jenis, sementara itu Malaysia sebagai sebuah negara membangun langsung tidak mempunyai pelindungan untuk pekerja yang dibuang.
Pada masa ini Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) telah menyuarakan bantahan mereka ke atas skim ini. Tetapi amat tidak wajar untuk pihak majikan membantah sebarang pelaksanaan skim insurans yang memberi faedah kepada pengangguran kerana pada masa ini kebanyakan syarikat masih tidak memberikan gaji yang setimpal dengan kadar keuntungan yang diperoleh pihak syarikat.
Kadar peratusan 0.25-0.5% peratus daripada gaji (mengikut model SOCSO) tidak sepatutnya memberi kesan yang begitu mendalam kepada operasi bisnes, dan memandangkan skim ini akan menyalurkan wang kepada kebajikan pekerja, memang tidak ada sebab untuk majikan menolak cadangan ini.
Jika MEF tidak bersetuju dengan perancangan ini, apakah alternatif yang boleh mereka cadangkan?
Oleh sebab itu, seperti yang dinyatakan tadi, kita sepatutnya menyokong skim ini tetapi pelaksanaannya mestilah dipantau dengan penuh teliti. Dana yang dibentuk harus ditadbir secara bebas, dengan penuh kebertanggungjawaban serta berintegriti.
Kita tidak mahu lihat lagi kes penyalahgunaan dana seperti kes Tabung Haji, Kumpulan Wang Persara (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dan sebagainya yang telah menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.