Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Terpilih sebagai Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia 2014-2017

Anggota AMK telah membuat pilihan mereka.

Perjalanannya panjang dan mencabar, tetapi akhirnya anggota-anggota muda KEADILAN telah memberikan saya amanah untuk memimpin mereka.

Dengan rasa rendah diri, saya menerima mandat yang telah diberikan kepada saya.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua saya yang baru, Dr Afif Bahardin dan Naib-Naib Ketua Raymond Ahuar, Radzlan Jalaluddin dan Sangetha Jayakumar serta Ahli Majlis Pimpinan AMK yang lain.

Saya akan bekerjasama dengan mereka untuk membawa AMK ke tahap yang lebih baik.

Kepada sahabat-sahabat seperjuangan saya, Amirudin Shari dan Nazree Yunus, saya ucapkan tahniah kepada mereka di atas kempen yang sengit.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada teman-teman, pasukan kempen dan sukarelawan-sukarelawan AMK Untuk Malaysia. Meskipun bukan semua di antara kita menang, tetapi kita telah bekerja keras dan mencipta sejarah baru. Kita membuktikan kepada parti dan negara apakah erti sebenar menjadi rakyat Malaysia dengan nilai-nilai berani, dinamik dan peduli.

Pokoknya, kita semua mencintai AMK dan KEADILAN. Kita semua mencintai Pakatan. Tidak kira AMK Untuk Malaysia, AMK Baru mahupun Nadi AMK kita semua mencintai tanah air kita. Kepada semua anggota AMK tanpa mengira pasukan – anda telah menyumbang tenaga, masa dan jiwa anda untuk kempen pemilihan parti. Anda telah buktikan apakah yang boleh dilakukan oleh anak muda yang komited kepada perubahan.

Ini masanya kita untuk AMK bersatu demi KEADILAN, Pakatan dan negara kita.

Marilah bersama berganding bahu. Banyak tugas di hadapan kita.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih di atas pengorbanan petugas-petugas pemilihan parti yang bekerja siang malam selama empat bulan ini.

Proses pemilihan yang kita tempuhi tidaklah mudah, tetapi dengan melakukan penambaikan, insya Allah kita boleh melihat proses yang lebih baik di masa akan datang. Kita tidah pernah gentar melakukan perubahan.

Akhir sekali terima kasih kepada keluarga saya, Imaan dan Ilhan yang telah memberikan kasih sayang dan dorongan yang tidak berbelah bahagi. Tidak mungkin saya dapat melakukannya tanpa dorongan tersebut.

Kepada semua anggota AMK, kita melalui hari-hari yang penting untuk AMK, parti, Pakatan dan negara kita.

Perkembangan di Selangor kini melibatkan kita semua.

Sebab itu keperluan untuk merapatkan saf dan perpaduan di kalangan kita bertambah penting. Sokonglah saya bila saya melakukan perkara yang betul, dan tegurlah saya bila saya membuat kesilapan.

Jika kita bersatu-padu dan terus berkhidmat demi rakyat, tiada apa yang mampu menghalang kita.

Kita harus pastikan suara rakyat terjamin di Selangor. Kita harus berganding tangan memperkukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat. Kita mesti menjuarai hak generasi muda Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama.

Dengan dokongan anda – semua perkara ini, malah lebih lagi – boleh kita capai. Sejarah dikarang oleh para optimis.

Percayalah, hari-hari terbaik KEADILAN dan Malaysia ada di hadapan kita. Jika kita bekerjasama, kita boleh mengubah parti dan negara kita menjadi lebih baik.

Tetapi keinginan itu mestilah ada di dalam diri kita. Kita mestilah percaya bahawa kita boleh berbuat demikian.

Pokoknya mudah, mulai detik ini kita tumpukan kepada keinginan berkhidmat.

Marilah kita, bersama-sama, memulakan tugas besar ini.

Mari kita bertemu di Kongres AMK Malaysia esok dan sambutnya dengan suasana sederhana sesuai dengan Hari Perkabungan Negara.

Dengan ucapan tulus ikhlas, terima kasih.