Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam reformasi.
Saya ingin menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada saudara-saudari, teman-teman yang sudi meluangkan masa untuk bersama dalam majlis yang sederhana ini. Saya yakin kehadiran kita di sini merupakan tanda penting persaudaraan dan komitmen semua kepada perjuangan untuk membina Malaysia yang lebih baik melalui wadah KEADILAN.
Tidak dilupakan rakan-rakan media serta teman-teman seperjuangan di luar parti. Terima kasih kerana sudi hadir.
Saudara-saudari teman-teman seperjuangan,
Tujuan utama saya memanggil pertemuan pada hari ini ialah untuk mengumumkan keputusan untuk saya menawarkan diri bagi jawatan Ketua AMK dalam pemilihan KEADILAN akan datang.
Selain itu, bersama saya ialah sebahagian teman-teman yang telah pun menyatakan persetujuan dan kesediaan untuk turut sama berkhidmat dalam barisan kepimpinan AMK bersama saya di bawah pasukan yang kami namakan sebagai ‘AMK untuk Malaysia’, dengan slogan ‘Berani, Dinamik dan Peduli’.
Kami maklum bahawa sebelum ini telah ada dua pengumuman lain oleh sahabat-sahabat saya Sdr Amiruddin Shari, ADUN Batu Caves dan Sdr Mohd Nazree Yunus, Ketua AMK Negeri Sembilan yang turut sama menyatakan kesediaan mereka untuk berkhidmat sebagai Ketua AMK Malaysia bersama pasukan masing-masing.
Bagi saya, ini membuktikan KEADILAN tidak ketandusan pemimpin muda yang sedia untuk menggalas tanggungjawab meneruskan perjuangan reformasi. Dengan had umur baru bawah 35 tahun yang telah ditetapkan, perkembangan ini akan menjadi penanda aras penting bahawa KEADILAN komited untuk mengangkat suara anak muda Malaysia agar lebih didengari.
Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat bertanding kepada semua calon pelbagai jawatan AMK di peringkat nasional hingga ke peringkat cabang, khususnya jawatan Ketua AMK Malaysia. Harapan saya, jadikanlah pertandingan ini sebagai medan persaingan sihat, mencerminkan idealisme, intelektualisme dan aktivisme AMK.
Saya difahamkan pihak AMK Johor sudahpun mengesahkan menjadi tuan rumah debat calon Ketua AMK pada Mac ini. Saya berharap beberapa perdebatan dapat diadakan bagi membolehkan anggota seluruh negara membuat penilaian. Mungkin salah satu perdebatan boleh diadakan oleh sebuah organisasi luaran seperti Sinar Harian untuk mendapat perspektif tersendiri.
Harus diingat, keutamaan kita, melebihi pemilihan ini sendiri sudah tentulah untuk membantu ke arah kemenangan bergaya Datuk Seri Anwar Ibrahim di DUN Kajang. Sebagaimana sedia maklum, keputusan ini dibuat bagi memastikan kita dapat menggunakan aset terbaik kita dengan pengalaman luas politik dan ekonomi bagi menghadapi serangan bertalu-talu UMNO dan memastikan Pakatan dapat mengorak selangkah lagi ke Putrajaya.
Saudara-saudari teman-teman seperjuangan,
Tahun ini genap 15 tahun lahirnya KEADILAN. Kita telah melangkah jauh ke hadapan, mengukir sejarah sebagai parti pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara. Alhamdulillah, meskipun sering dianggap parti kecil dan baru, KEADILAN kini benar-benar parti nasional. Bukan setakat itu, KEADILAN kini mempunyai wakil rakyat pelbagai kaum di setiap negeri dalam Persekutuan Malaysia.
Apa yang lebih saya banggakan ialah penglibatan meluas kepimpinan muda, baik lelaki atau wanita, di pelbagai peringkat. Untuk ini, saya fikir wajar untuk kita mengucapkan terima kasih kepada pimpinan tertinggi parti yang sedar akan potensi dan kepentingan anak muda dan berani mengambil risiko memberikan peluang kami menyumbang dengan pelbagai cara, termasuk sebagai calon dalam pilihan raya.
Ucapan penghargaan khusus wajar dirakamkan kepada Sdr Shamsul Iskandar Md Akin, Ketua AMK yang telah memainkan peranan membina semula AMK sejak beliau mengambil alih tampuk pada tahun 2007 dahulu sehinggalah hari ini. Sebagai Exco AMK Malaysia penggal 2007-2010 saya melalui sendiri proses pembinaan semula tersebut.
Saudara-saudari teman-teman seperjuangan,
Rata-rata calon pelbagai jawatan AMK pada hari ini masih agak muda ketika seruan Reformasi mula dilaungkan pada September 1998. Saya sendiri, ketika itu berada di Tingkatan 4.
Pada usia muda ketika itu, saya mula berkenalan dengan dengan Sdr Rafizi Ramli dan Allahyarham Adlan Benan Omar yang telah membawa saya terlibat di dalam Reformasi. Saya telah pun cuba mengangkat suara anak muda melalui laman web Suara Anum. Melaluinya saya berkenalan dengan ramai aktivis muda pelbagai aliran dan kumpulan.
Selain itu, saya juga telah dibawa masuk ke dalam Unit Pendidikan Politik, Institut Kajian Dasar (IKD) dan membantu kempen Reformasi melalui Keadilan Antarabangsa Eropah semasa belajar di King’s College, London.
Semasa di luar negara, saya telah menggalas tanggungjawab sebagai perwakilan mahasiswa universiti seluruh United Kingdom. Tulisan saya juga telah tersiar dalam beberapa media antarabangsa, selain menyumbang tulisan dalam akhbar KEADILAN.
Sekembalinya saya ke Malaysia, saya telah memilih untuk bermula di akar umbi dengan menjadi anggota KEADILAN Cabang Kelana Jaya, dan kemudian membuat keputusan berhenti daripada jawatan eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Setiausaha Sulit, sebelum menjadi calon dan wakil rakyat termuda di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum 2008, pada usia 26 tahun. Saya juga berpeluang melihat realiti dalam pentadbiran kerajaan semasa menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor dan kini Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor selain perspektif nasional parti sebagai Exco AMK Malaysia dan Pengarah Komunikasi Parti. Pada masa yang sama, saya turut melalui pengalaman didakwa di mahkamah kerana himpunan Blackout 505 yang masih dibicarakan hingga ke hari ini.
Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah:
i) Saya telah meyakini bahawa KEADILAN merupakan parti masa depan negara sejak awal penubuhannya;
ii) Anak muda boleh dan mempunyai ruang untuk menyumbang melalui KEADILAN;
iii) Pengorbanan dan kesabaran, tanpa janji pulangan yang setimpal perlu dibuat untuk merealisasikan cita-cita negara yang kita hasratkan.
iv) Ruang untuk pelaksanaan reformasi dalam negara dan parti masih luas.
v) Negara dan parti memerlukan kesediaan kita untuk mencorakkannya.
Alhamdulillah, saya berkesempatan melihat parti KEADILAN berkembang sejak mula. Saya yakin kita semua pasti bersetuju proses ini tidak mudah. Dan saya ingin tegaskan di sini bahawa cabaran yang ada untuk membawa KEADILAN ke peringkat lebih tinggi adalah lebih getir daripada apa yang telah kita lalui.
Saudara-saudari teman-teman seperjuangan,
Sejak beberapa bulan lalu saya telah ke hampir seluruh negara bertemu teman-teman anggota parti, khususnya AMK di cabang-cabang. Dalam realiti baru selepas KEADILAN mula mendapat momentum, cabaran yang hadir jelas menuntut kita semua bersiap-siaga mendepaninya. Kita tidak boleh berpuas hati dan lalai dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh orang ramai. Ini sebenarnya hanya permulaan baru.
Cabaran yang ada menuntut keberanian menawarkan kepimpinan; pemikiran dan kegiatan yang dinamik; dan sikap peduli kepada persekitaran. Ini akan menentukan sama ada nafas perjuangan KEADILAN akan dapat terus memberikan nyawa kepada perjuangan dan cita-cita reformasi.
Masa depan KEADILAN bakal bergantung kepada kualiti dan kuantiti anggota mudanya pada hari ini. Justeru, wajar untuk kita bertanya, ketika pelbagai pihak mendakwa ramai anak muda mahukan perubahan:
i) mengapakah ramai yang begitu skeptikal dengan perjuangan melalui wadah parti politik, khususnya KEADILAN?
ii) mengapakah ada anak muda yang mengabaikan kepentingan politik?
iii) mengapa ada anak muda yang masih menolak perubahan?
Saya yakin anak muda mahukan pemimpin yang dipercayai mewakili diri dan kepentingan mereka. Ini mestilah dicerminkan melalui keunggulan idealisme, kekuatan intelektualisme dan ketahanan aktivisme. Dengan ciri-ciri ini, anak muda mahu menyampaikan kepada masyarakat bahawa politik yang diyakini mereka bukanlah politik yang tidak berprinsip, selekeh dan lemah. Sebaliknya politik yang ingin ditonjolkan ialah yang sarat nilai, bersandarkan pemikiran yang tajam dan dilaksanakan dengan penuh disiplin. Politik ini bukanlah sejenis kerjaya rendah moral (low moral profession), seni segala kemungkinan (the art of the possible) dan matlamat menghalalkan cara (end justifies the mean).
Sebab itu kita harus akui bahawa perjuangan melalui politik ini tidak mudah. Tetapi perjuangan ini adalah satu keperluan berasakan semangat perlembagaan. Tambahan pula, KEADILAN muncul sebagai sebuah parti politik dalam gejolak kebangkitan massa. KEADILAN menghimpun pelbagai individu dan kumpulan dengan citra berwarna-warni mengenai negara yang dihasratkan. Namun, kita tidak patut mengalah kerana, seperti yang dikatakan oleh Nelson Mandela, “It always seems impossible until it’s done.”
Maka pada hari ini saya dan pasukan AMK untuk Malaysia tampil untuk menggalas tanggungjawab dan tuntutan ini. Ini bukan lagi satu pilihan tetapi kemestian yang perlu kami laksanakan.
Dengan pelbagai latar belakang demografik – kaum, agama, gender, pengalaman, kepimpinan, perjuangan, pengetahuan dan kemahiran – kami mahu menyampaikan mesej bahawa kepelbagaian adalah satu keniscayaan yang boleh diuruskan bersama. Kami mahu menghimpunkan dan meraikan kepelbagaian bakat yang datang daripada pekerja dan profesional, mahasiswa dan aktivis, ugamawan dan seniman. Saya yakin AMK untuk Malaysia mewakili kepelbagaian ini dan adalah pasukan terbaik serta paling teruji untuk membawa AMK dan parti ke tahap yang seterusnya. Akhirnya, matlamat kita sebagai parti politik ialah untuk menang Pilihan Raya Umum bagi melihat cita-cita islah mastata’tum kita menjadi realiti.
AMK Untuk Malaysia bersendikan tiga nilai: berani, dinamik, peduli.
Berani: Reformasi hanya akan menjadi impian sukar tanpa keberanian untuk mengambil risiko dalam menyuarakan bukan sahaja sentimen anggota muda parti, tetapi generasi muda negara yang mahukan anjakan budaya politik. AMK mesti berada di hadapan dalam memperjuangkan idealisme kebebasan dan keadilan, selari dengan idealisme kita sendiri. AMK mesti berani berada di forum ilmiah mahupun di demonstrasi jalanan, bukan gah berebut kerusi pilihan raya atau ahli majlis semata-mata.
Dinamik: Ciri dinamik pada generasi muda seperti terbuka, bebas, kritis dan matang dari sudut politik memerlukan kepimpinan AMK yang dinamik dalam menyantuni kepelbagaian ini. Ini akan menjadikan AMK lebih dihormati dan disegani kerana mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lawan mahupun kawan. AMK mesti menjadi golongan pendesak dan pada masa yang sama pemberi alternatif kepada dasar baru. Ini menuntut kualiti pemikiran yang tinggi dan pelbagai. Maka AMK untuk Malaysia akan melaksanakan latihan pembangunan ahli secara menyeluruh untuk menjadikan penglibatan mereka dalam kegiatan politik kepartian lebih bermakna.
Peduli: Kualiti intelektual akan menjadi lebih bermakna jika diiringi dengan sikap peduli kepada persekitaran. Ini termasuk perkembangan semasa sama ada di peringkat antarabangsa, nasional dan tempatan. Dengannya, jurang antara dasar dan pengalaman praktik akan dapat didekatkan. Ini akan dapat membantu penyelesaian bermakna kepada masyarakat bertunjangkan keadilan sosial dan pemeliharaan hak asasi. Kepedulian kepada persekitaran ini akan menjadi elemen utama untuk AMK kekal relevan di arena politik nasional.
Saudara-saudari teman-teman seperjuangan,
Pemilihan kali ini bukan pemilihan yang biasa. Pemilihan ini yang membuka lembaran baru kepimpinan bakal menentukan masa depan parti dan negara.
Saya yakin empat teras manifesto AMK untuk Malaysia yang telah dibentangkan teman-teman saya sebentar tadi:
i) Pendemokrasian organisasi AMK Negeri
ii) Memberdaya ekonomi anak muda
iii) Pemantapan dan penyusunan semula latihan dan pengkaderan anggota
iv) Politik cakna budaya, seni dan sukan
Adalah dasar-dasar yang diperlukan bagi tujuan ini.
Suatu ketika dahulu, Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang pernah mengungkapkan penghormatan tertinggi buat Allahyarham Ahmad Boestamam, pemimpin Angkatan Pemuda Insaf dan Parti Rakyat:
“Bersama teman-teman, pahlawan
Kau gabungkan tenaga muda dalam API membara
Menyerak mercik menyadap semangat bangsa
Sebaris lalu sebaris tumbuh sebaris tiba
Boestamam, kau berdiri di barisan paling depan
Mengibarkan bendera merdeka
Yang menakutkan mereka berjiwa hamba.”
Inilah harapan kami, agar AMK dapat mewarisi bukan sekadar nama tetapi semangat perjuangan ini.
Dengan itu saya, Nik Nazmi Nik Ahmad, menawarkan diri dan memohon sokongan teman-teman untuk saya dan pasukan AMK untuk Malaysia bagi pemilihan KEADILAN tahun 2014 ini.
Anak muda pelbagai ragam,
Jadi Imam Muda nampak mengancam,
Main bola mahir semacam,
Menuntut ilmu mentadbir alam.
Anak muda darahnya panas,
Bila berjuang dikatakan mengganas,
Walhal tak kurang akal yang bernas,
Tidak menyalah guna agama dan ras,
Tidak berpaut sokongan pemimpin atas,
Bila bersuara tidak culas,
Bila menegur berniat ikhlas.
Bunga kemunting di luar pagar,
Kembang mewangi hingga Tanjung Sedili,
Bunga tari langkah pendekar,
Lambang berani, dinamik dan peduli.
Lebah bukan sebarang lebah,
Lebah hinggap di dahan cempaka;
Madah bukan sebarang madah,
Madah suntikan jiwa merdeka.
Kamilah AMK untuk Malaysia.
Sekian, terima kasih.