Mari Bekerja Keras Untuk Anwar Kembali Ke Parlimen

Hari ini penamaan calon untuk PRK Port Dickson berlangsung. Seperti yang dimaklumi semua, bakal Presiden KEADILAN Anwar Ibrahim bertanding, maka kita harus bekerja keras untuk memastikan Anwar kembali ke Parlimen.

Saya percaya kehadiran beliau sebagai ahli Parlimen Port Dickson akan membantu meningkatkan pembangunan dan peluang pekerjaan di sini. Isu-isu anggota tentera dan veteran juga akan mendapat lebih perhatian.

PRK Port Dickson merupakan sebahagian daripada langkah yang diperlukan untuk memenuhi muafakat Pakatan Harapan – untuk meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas Dr Mahathir Mohamad.

Keberadaan Anwar di Parlimen akan terus memantapkan usaha mewujudkan Malaysia Baharu yang akan membawa perubahan besar kepada negara.

Saya menyeru agar pengundi Port Dickson turun beramai-ramai dan memilih bakal Perdana Menteri kita, Anwar Ibrahim.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Mengalu-Alukan Keputusan Anwar Bertanding Port Dickson

Sebagai anggota KEADILAN, Pakatan Harapan dan warganegara Malaysia – saya mengalu-alukan berita Anwar Ibrahim akan bertanding untuk kembali ke Parlimen melalui pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Port Dickson. Saya berjanji akan berusaha semampu yang boleh untuk memastikan kehadiran bakal Presiden KEADILAN merangkap bakal Perdana Menteri Malaysia di Parlimen.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Port Dickson Laksamana Muda (B) Danyal Balagopal Abdullah kerana pengorbanannya yang mulia dan berani. Saya tidak ragu-ragu bahawa beliau akan terus berkhidmat kepada negara dan parti seperti biasa. Beliau merupakan seorang insan yang budiman dan perajurit tulen.

Bagi rakyat Malaysia yang mencintai demokrasi, kita perlu menyokong usaha Anwar untuk kembali ke Parlimen. Saya ingin mengucapkan selamat berjaya – 20 tahun selepas permulaan Reformasi dan lebih satu dekad di belakang gerigi besi, semangat Anwar Ibrahim tidak pernah luntur untuk perjuangan Malaysia yang bebas dan adil untuk semua.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA