Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Menawarkan Diri Untuk Pemilihan Parti KEADILAN

Pada hari ini saya mengumumkan pencalonan saya untuk kerusi dalam Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat.

Saya juga ingin mengulangi sokongan saya bagi Anwar Ibrahim untuk dipilih sebagai Presiden KEADILAN dalam pemilhan kali.

Selain itu, saya juga ingin menyokong Rafizi Ramli sebagai calon Timbalan Presiden KEADILAN.

Saya telah mengambil keputusan ini setelah diberi pertimbangan yang lama, termasuk berbincang dengan ahli keluarga, sahabat dan warga Setiawangsa.

Rakyat akan beri tumpuan pada KEADILAN dalam pemilihan parti akan datang ini. Kita harus memastikan bahawa proses pemilihan akan dijalankan secara adil, telus dan dalam semangat keluarga.

KEADILAN merupakan parti komponen terbesar dalam Pakatan Harapan dan memainkan peranan yang besar dalam pakatan yang mentadbir Malaysia.

Kami telah berjaya ke hadapan setelah zaman Reformasi, tetapi perjuangan kami untuk memastikan negara yang lebih adil bagi rakyat kita belum lagi berakhir.

Sesungguhnya, harapan rakyat lebih besar dari sebelum ini.

Sejak kempen Pilihan Raya Umum yang lepas, saya bertemu dengan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat.

Mereka teruja untuk Malaysia Baru, tetapi mereka juga mengharapkan Pakatan Harapan untuk laksanakan tugas kita. Kita perlu melaksanakan agenda Reformasi dan memajukan Malaysia ke hadapan.

Kita tidak boleh dan tidak harus melemahkan usaha kita dalam mengecapi pentadbiran yang baik, pembangunan ekonomi yang saksama dan masyarakat yang lebih sejahtera.

Kita tidak boleh dan tidak harus berputus asa dalam perjuangan kita membasmi rasuah, penyalahgunaan kuasa dan politik pecah dan perintah.

Saya percaya bahawa Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli merupakan orang yang terbaik untuk mengetuai kita dalam perjuangan ini.

Saya juga percaya, sebagai seorang ahli MPP, bahawa saya boleh menyokong, membantu serta bersuara bagi dan kepada mereka apabila perlu.

Saya berasa bahawa saya mempunyai pengalaman untuk berkhidmat secara berkesan.

Saya mula membantu parti secara tidak rasmi sejak tahun 2001, sebelum saya ke universiti lagi. Saya menjadi ahli pada tahun 2005 dan mula bekerja di pejabat Anwar setahun kemudian.

Sejak itu, saya telah berkhidmat sebagai ADUN Selangor, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Pengarah Komunikasi KEADILAN, Timbalan Speaker DUN Selangor, Ketua Angkatan Muda Keadilan, dan ahli EXCO Selangor, Ketua Pemuda HARAPAN dan kini sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa.

Saya sangat bersyukur—kepada ahli dan pemimpin parti—kerana diberikan peluang tersebut untuk berkhidmat dan berharap untuk terus berkhidmat.

Saya ingin menjadikan KEADILAN sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang mereka.

Saya ingin memastikan bahawa ia akan meneruskan dan mengukuhkan agenda Reformasi dengan menggabungkan tenaga, idea dan prinsip ahli-ahli baru dan lama yang menyokong idealisme teras parti.

Saya tahu bahawa perjalanan yang akan datang bukanlah satu jalan yang mudah tetapi saya komited kepada KEADILAN dan kepada Malaysia.

Itulah sebab saya akan bertanding.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA