Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein telah bertanya tentang apa yang Pakatan Harapan lakukan untuk menyelesaikan isu pembekalan kapal tempur pesisir (LCS).
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri Dewan Rakyat dari hujung 2019 sehingga 2020, saya telah memulakan siasatan ke atas projek itu memandangkan kelewatan projek yang kritikal.
Kami mengadakan perbicaraan dan memanggil beberapa pihak berkepentingan dan individu yang terlibat.
Penyiasatan kami telah selesai dan Jawatankuasa saya di peringkat akhir menyelesaikan laporan yang dirangka – malangnya Langkah Sheraton berlaku. Kerajaan Persekutuan bertukar tangan, keadaan ini menyebabkan kerja-kerja ini tidak dapat diselesaikan.
Siasatan kami dicerminkan dan disahkan oleh laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai masalah LCS, yang telah memaksa kerajaan semasa untuk mempercepatkan projek ini untuk memastikan Malaysia mendapat kapal yang kita perlukan.
Kementerian Pertahanan di bawah Kerajaan PH (2018—2020) sedang berusaha menyiapkan projek itu dengan cara yang lebih pantas dan telus yang lebih sesuai dengan kepentingan negara, sebelum diganggu Langkah Sheraton.
Ia adalah dakwaan yang tidak berasas untuk Hishammuddin mengatakan PH tidak melakukan apa-apa berhubung isu LCS.
Kami telah melakukan lebih daripada pentadbiran BN yang tewas pada Pilihan Raya Umum 2018, mereka seolah-olah tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab dengan projek itu, projek yang bermasalah dan tertangguh sehingga hari ini.
Rakyat sudah bijak dan mengetahui siapa yang lebih mengambil serius perkara-perkara seperti ini. Sudah banyak wang rakyat tergadai akibat projek LCS ini.
NIK NAZMI NIK AHMAD
NAIB PRESIDEN KEADILAN
PENGERUSI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS PARLIMEN MENGENAI PERTAHANAN DAN HAL EHWAL DALAM NEGERI 2019-2020
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA 2018-2022