Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Sandiwara Najib Berkaitan Palestin

Menjelang musim Pilihan Raya ini Perdana Menteri Najib Razak melalui laman media sosialnya banyak mendabik dada menggambarkan bahawa UMNO-Barisan Nasional adalah pejuang Palestin dan umat Islam.

Pada masa yang sama, beliau menuduh Pakatan Harapan tidak kisah tentang Palestin.

Tetapi kita hanya perlu lihat apa yang berlaku sejak Najib menjadi Perdana Menteri untuk menilai perkara yang sebenar.

Akhbar the Times of Israel sendiri telah melaporkan bahawa walaupun Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, dan mengaku memihak kepada Palestin, tetapi hubungan perdagangan di antara dua negara ini terus meningkat saban tahun.

Di dalam artikel “Malaysia favors Palestinians but buys from Israel”, ia menyatakan bahawa mengikut Biro Perangkaan Israel, pada tahun 2013, nilai perdagangan di antara dua negara tersebut mencecah USD 1.529 bilion, peningkatan dua kali ganda daripada tahun 2012, manakala ia meningkat lagi 27 peratus pada awal 2014.

Hubungan ini tidak dinyatakan dengan jelas di dalam laporan perdagangan luar negara kita kerana Israel dikategorikan di dalam “lain-lain”, tetapi hubungan ini bukanlah satu rahsia.

Selain daripada mengukuhkan hubungan perdagangan, Najib Razak juga gagal untuk menyatakan pendirian ketika bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini walaupun bermegah dapat pertemuan empat mata dengan antara presiden paling pro-Zionis dalam sejarah Amerika itu.

Najib juga merupakan Perdana Menteri pertama Malaysia sejak lebih 50 tahun yang telah membenarkan satu delegasi Israel yang diketuai bekas Timbalan Duta Israel ke PBB, David Roet, memasuki Malaysia pada awal tahun ini.

Setiap apa yang dilakukan ini tidak menggambarkan seorang pejuang Palestin yang ikhlas, malah hanya menggunakan isu ini untuk meraih undi.

Pakatan Harapan telah menjelaskan di dalam manifesto kami melalui Janji 59 bahawa kami akan memimpin usaha menyelesaikan konflik Palestin dan Rohingya. Kami akan membawa suara Palestin dengan lebih aktif ke peringkat OIC dan PBB untuk mencapai penyelesaian muktamad.

Malah pemimpin kedua-dua pimpinan utama Pakatan Harapan, Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim juga masih disegani sebagai pemimpin Islam di persada dunia dan telah lama memperjuangkan hak Palestin di peringkat tertinggi.

Najib harus henti bersandiwara di dalam hal ini, dan berhentilah cuba memperbodohkan rakyat hanya demi mendapatkan undi.