Pengisytiharan harta adalah amalan penting untuk meningkatkan integriti serta kebertanggungjawaban dan ketelusan wakil rakyat.
Saya baru sahaja memperakukan Borang Pengisytiharan Harta saya setakat 30 September 2020 di depan Pesuruhjaya Sumpah.
Amalan pengisytiharan harta secara terbuka dimulakan Kerajaan Pakatan Rakyat (ketika itu) di Selangor dan Pulau Pinang.
Selepas itu wakil rakyat pembangkang – Dr Jeyakumar Devaraj, Rafizi Ramli dan Dr Mujahid Yusof Rawa memulakan amalan pengisytiharan harta.
Sebagai EXCO Kerajaan Selangor, saya turut membuat pengisytiharan harta.
Menuju PRU 2018, INVOKE meminta semua calon yang mereka dokong, termasuk saya, untuk membuat pengisytiharan harta.
Pada PRU 2018, saya berjanji sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat Setiawangsa, saya akan membuat pengisytiharan harta setiap tahun.
Kerajaan Pakatan Harapan yang menang pada PRU tersebut telah meminta semua Ahli Parlimen Kerajaan menghantar borang pengisytiharan harta kepada SPRM dan ringkasan pengisytiharan dimuatnaik di laman web SPRM.
Namun saya tetap teruskan amalan memuatnaik keseluruhan borang pengisytiharan harta.
Kini, walaupun menjadi wakil rakyat pembangkang saya meneruskan amalan tersebut.
Saya juga berharap pengisytiharan harta yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dapat diperbaiki. Pengisytiharan harta pada hari ini terlalu ringkas dan seolah-olah melepas batuk di tangga.
Borang pengisytiharan harta saya boleh dilihat sepenuhnya di https://niknazmi.com/pengisytiharan-harta/
NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA