KRITIKAN KHAIRUDDIN ABU HASSAN TERHADAP ANWAR TAK MUNASABAH DAN TAK WAJAR
Kritikan terhadap Anwar Ibrahim oleh Khairuddin Abu Hassan pada 19 Oktober 2019 adalah tidak munasabah dan tidak wajar.
Anwar tidak pernah mencuba untuk mempercepatkan atau memaksa proses peralihan kuasa. Selama ini, beliau memberi sokongan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan di bawah pemerintahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Selaku seorang ahli parlimen, dan juga Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, beliau turut memberi saranan untuk menangani isu-isu negara yang meruncing, terutamanya isu-isu mengenai ekonomi negara dan institusi-institusi awam.
Sehubungan dengan itu, Seminar ‘Ekonomi, Kemiskinan, dan Kesenjangan’ yang dianjurkan oleh Kaukus di bawah pimpinan Anwar, telah menyarankan pihak kerajaan untuk mengkaji semula paras pendapatan garis kemiskinan dan defini istilah ‘kemiskinan’. Kerajaan telah sewajarnya, memberi iltizam untuk menangani isu tersebut.
Terbukti bahawa kenyataan oleh Anwar yang menyentuh pada peralihan kuasa telah menjawab kebimbangan rakyat, serta media dalam dan luar negara. Hal ini mencerminkan minat tulen semua pemegang taruh dalam proses ini.
Justeru itu, Khairuddin sepatutnya tidak menyalahkan Anwar jikalau rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa memerlukan keterangan yang lebih kukuh mengenai peralihan kuasa tersebut.
Bahkan juga, Khairuddin mendakwa Anwar telah merosakkan nama baik negara di mata pelabur. Dakwaan tersebut juga bertentangan dengan kenyataan Dr Mahathir sendiri bahawa pelabur sedang berduyun-duyun ke negara kita. Sekiranya Khairuddin menyokong Perdana Menteri, mengapakah beliau sedang menjejaskan dan bercanggah dengan kenyataan Dr Mahathir? Sedangkan Perdana Menteri telah secara konsisten memberi jaminan untuk melaksanakan peralihan tersebut pada masa yang sepatutnya.
Kritikan terhadap sebarang kesangsian atas keadaan ekonomi negara sewajarnya diarahkan kepada mereka yang didorong oleh kepentingan diri dalam menjejaskan Pakatan Harapan.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA