Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pendirian Kerajaan Malaysia Tentang Rohingya Harus Dihormati

Terdapat laporan yang mengatakan Kerajaan Republik Myanmar telah memanggil Duta Besar Malaysia di negaranya pada 31 Julai untuk berbincang berkenaan kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang merujuk kepada keadaan rakyat Rohingya.

Dr Mahathir baru-baru ini meminta rakyat Rohingya dianggap sebagai warganegara Myanmar sepenuhnya, ataupun diberikan wilayah untuk membentuk negara sendiri. Ini adalah pendirian kerajaan Malaysia yang tepat dan konsisten mengenai krisis yang berlaku di negeri Rakhine. Saya amat bersetuju dengan pendirian yang diambil oleh kerajaan Malaysia.

Penghapusan etnik yang telah dijalankan oleh Tatmadaw, di wilayah Rakhine sejak 2017, telah menyebabkan 750,000 orang kaum Rohingya terpaksa melarikan diri. Selain itu, terdapat dakwaan yang sahih bahawa pembunuhan beramai-ramai dan kejadian rogol telah berlaku. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, satu juta orang Rohingya kini hampir terdampar sebagai pelarian di negara berjiran, Bangladesh.

Kerajaan Myanmar berkemungkinan akan membantah kenyataan Tun Dr Mahathir. Tindakan mereka menunjukkan penafian besar terhadap bencana yang dilakukan oleh Tatmadaw telah melakukan jenayah terancang yang besar terhadap rakyatnya sendiri.

Kementerian Luar Negara Myanmar mendakwa kenyataan Perdana Menteri menentang prinsip-prinsip ASEAN yang mensyaratkan ahli-ahlinya untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalam negara ahli lain. Nampaknya kementerian tersebut sengaja tidak mengambil tahu bahawa Piagam ASEAN dan prinsip tidak campur tangan tidak memberikan ahli-ahli ASEAN kebenaran untuk melanggar hak asasi manusia atau melibatkan diri dalam tindakan zalim .

Artikel 2 (2) (i) Piagam itu memang memberi mandat bahawa ASEAN dan negara anggotanya bertindak mengikut prinsip “menghormati kebebasan asas, perlindungan hak asasi manusia dan keadilan sosial”.

Rejim Yangon di bawah Aung San Suu Kyi juga harus sedar bahawa kezaliman Tatmadaw di Rakhine telah mencetuskan krisis kemanusiaan yang membawa kesan negatif untuk seluruh rantau Asia Tenggara, dan juga Asia Selatan. Nasib kaum Rohingya tidak lagi menjadi isu dalaman Myanmar tetapi tragedi serantau, dan sememangnya, akan menjadi tragedi sedunia selagi tindakan segera tidak diambil.

Sekiranya Myanmar ingin menamatkan kritikan dan kutukan keras daripada pihak-pihak antarabangsa, maka ia harus mula mengendalikan Tatmadaw yang semakin hilang kawalan, dan menghukum penjenayah yang telah melakukan kezaliman di negeri Rakhine. Mereka perlu memastikan semua rakyat Rohingya dikembalikan ke tempat asal mereka dan diberikan hak-hak sebagai warganegara Myanmar.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA