Setelah meniliti cadangan awal MenteriåÊ Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Noh Omar, serta maklumbalas pakar dan masyarakat awam, Angkatan Muda KEADILAN hendak menyatakan bantahan kami terhadap cadangan tersebut, kerana kesan negatifnya terutama kepada generasi muda.
Cadangan Menteri, yang bakal menyaksikan pemaju diberi kuasa memberi pinjaman dengan kadar bunga sehingga 18% merupakan satu cadangan pendek akal terhadap isu pembelian rumah.
Kawalan-kawalan yang ditetapkan oleh Bank Negara tidak akan dihiraukan oleh pemaju kerana mereka tidak dikawal oleh BNM.
Dengan itu, ia akan menggalakkan mereka yang tidak boleh mendapatkan pinjaman bank kerana kedudukan kewangan yang lemah untuk membeli rumah melebihi kemampuan mereka dan akhirnya meningkatkan lagi risiko mungkir pinjaman.
Dengan keadaan Malaysia yang sudah dibebankan dengan hutang isi rumah pada kadar 89% KDNK dan kian meningkat, cadangan ini berkemungkinan menyebabkan krisis sub-prima seperti di Amerika Syarikat hampir sedekad yang lalu. Krisis tersebut telah memberi akibat yang teruk kepada ekonomi AS dan merupakan salah satu faktor kritikal yang mengakibatkan kemelesetan ekonomi mereka sekitar tahun 2007-2009.
Krisis tersebut berlaku kerana bank memberikan pinjaman sewenang-wenangnya termasuklah kepada orang yang mempunyai kedudukan kewangan yang lemah dan akhirnya ramai pembeli ini mungkir pinjaman dan meninggalkan kesan yang besar kepada pasaran perumahan.
Anak muda terutamanya akan terkesan kerana sebarang pembelian rumah dengan kadar bunga yang tinggi bukan sahaja akan membebankan kedudukan kewangan mereka, malah ia akan mengurangkan kuasa pembelian. Senario ini amatlah menggusarkan kerana anak muda kini sudah pun dibebankan dengan kenaikan harga barang yang melampau, pinjaman pelajaran dan PTPTN, harga kereta dan fi pengangkutan yang tinggi, dan sebagainya.
Cadangan ini juga tidak akan memberi sebarang kepastian bahawa harga rumah akan dapat dikurangkan dalam masa terdekat. Malah pemaju juga akan mempunyai kebebasan untuk meningkatkan harga rumah kerana pembeli sekarang mampu meminjam berdasarkan ketetapan mereka.
Sebarang krisis yang mungkin berlaku akan memberi impak yang amat buruk kepada ekonomi, dan anak muda yang pada masa ini sudah pun merekodkan kadar muflis tertinggi dalam sejarah, akan menghadapi masa depan yang gelap.
Kerajaan sepatutnya fokus kerjasama dengan pemaju untuk mengurangkan harga rumah dan biarkan Bank Negara sahaja yang mengawal pinjaman. Kaedah mekanisme lain juga sepatutnya dibentuk untuk memastikan generasi muda mempunyai tempat tinggal yang selesa contohnya dengan kawalan sewaan yang pada masa ini langsung tidak dikawal.
Kerajaan juga patut sedar bahawa tanggungjawab mereka bukanlah untuk menggalakkan pemilikan rumah, tetapi untuk memastikan rakyat boleh hidup dengan senang dan meningkatkan gaya hidup dengan memberi insentif yang terbaik untuk meningkatkan ekonomi.