Saya mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua rakyat Malaysia – terutama mereka yang bekerja di kilang, ladang, institusi pendidikan, rumah dan pejabat.
Kita semakin menghampiri tahun pertama Pakatan Harapan menjadi kerajaan, sepatutnya ia menjadi peringatan kepada kita untuk berusaha lebih keras bagi memenuhi manifesto yang telah kita janjikan.
Kita perlu melakukan lebih banyak dan lebih baik berhubung janji kita untuk memastikan keadilan ekonomi untuk semua rakyat Malaysia.
Justeru, Hari Pekerja 2019 perlu merangsang kita untuk menaikkan semangat pekerja Malaysia.
Petanda penting dalam merealisasikan agenda ini adalah untuk memenuhi janji kami untuk memastikan gaji minima RM1,500 menjelang 2023 – serta mewujudkan ekonomi yang dapat menyokong gaji dan pekerjaan yang baik.
Fakta mudah ialah rakyat Malaysia gaji rakyat Malaysia dibayar terlalu rendah. Banyak masalah polisi yang dihadapi oleh kerajaan seperti mengurangkan kos sara hidup, menjadikan perumahan serta penjagaan kesihatan mampu dimiliki oleh semua, dan meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi boleh diatasi dengan menyelesaikan masalah gaji rendah ini.
Bank Negara, dalam Laporan Tahunannya pada 2017, menganggarkan bahawa gaji kehidupan wajar atau ‘living wage’ untuk Kuala Lumpur, pada tahun 2016, sepatutnya antara RM1,500 (untuk orang bujang) sehingga RM6,500 (untuk pasangan dengan dua orang anak ) sebulan.
Sudah tentu, angka ini tidak boleh berlaku dengan hanya kerajaan yang membuat undang-undang tapi perlu dipastikan majikan mengikuti arahan ini.
Kertas Bank Negara Mac 2018 menyatakan “Langkah ke arah pertumbuhan gaji yang diterajui produktiviti bergantung kepada sokongan luas dari semua bahagian ekonomi. Kerajaan boleh memupuk persekitaran yang kondusif bagi majikan untuk meningkatkan produktiviti dengan memastikan adanya sokongan institusi yang baik, peraturan minimum mengenai aktiviti pelaburan produktif, dan kemampuan latihan dan pendidikan peringkat tinggi.
“Majikan boleh melatih pekerja sedia ada dan memberikan insentif untuk mereka meningkatkan kemahiran mereka… Pekerja perlu juga menyedari kepentingan peningkatan diri untuk mencapai tahap upah yang lebih tinggi yang dapat mengekalkan standard hidup yang boleh diterima dan mengambil inisiatif untuk meningkatkan kemahiran.”
Banyak yang boleh dilakukan. Sebagai contoh, paradigma perolehan kerajaan perlu dialihkan untuk memastikan nilai tambah kepada pekerja dan usahawan Bumiputera menerusi komitmen rancangan memenuhi ‘living wage’ untuk pekerja mereka bukannya secara pasif menyerahkan kontrak semata-mata.
Selain itu, syarikat yang mengaut keuntungan boleh diberi insentif potongan cukai dengan syarat penjimatan cukai digunakan untuk meningkatkan upah pekerja, terutama pada peringkat yang lebih rendah.
Inisiatif untuk menaikkan taraf, menambahkan nilai dan melatih semula pekerja perlu disokong oleh sektor awam dan swasta, sama ada dari segi kewangan atau tidak. Ini termasuk dalam bidang yang semakin penting seperti bahasa (termasuk Bahasa Inggeris), IT dan kemahiran lain.
Usaha untuk mendapatkan warga emas, yang berupaya kekal aktif dan bekas penagih dadah dan bekas banduan yang telah menjalani hukumuan dan mula kembali masyarakat untuk bekerja juga harus disokong oleh semua orang.
Tembok pemisah – sengaja atau tidak – terhadap wanita untuk mempunyai kerjaya dan meingkatkan pendapatan keluarga mesti dihapuskan. Ketagihan negara kita selama puluhan tahun terhadap tenaga kerja asing juga harus dihentikan – sekali lagi, dengan memastikan kadar gaji semua kelas berpatutan adalah kunci untuk ini.
Juga, pekerja Malaysia sendiri harus berusaha meningkatkan produktiviti dan kebolehpasaran mereka. Ini adalah proses holistik yang memerlukan sokongan semua orang. Pakatan Harapan perlu mendengar, dan ia perlu bertindak dengan betul untuk pekerja di Malaysia.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA