Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Usah Respon Kepada Tweet Eric Paulsen Dengan Ancaman

Saya merujuk kepada kontroversi melibatkan peguam Eric Paulsen mengenai Islam.

Eric menulis twitter di akaunnya @EricPaulsen101 bahawa “JAKIM is promoting extremism every Friday. Government needs to address that if serious about extremism in Malaysia.”

(JAKIM menyebarkan pandangan melampau setiap Jumaat. Kerajaan harus menanganinya jika mereka serius tentang ekstremisme di Malaysia)

Ada dua perkara utama yang mana saya tidak bersetuju dengan Eric:

1) Sememangnya ada kandungan khutbah Jumaat yang mana tidak disenangi ramai rakyat Malaysia, sama ada yang beragama Islam mahupun tidak. Pun begitu, untuk mengatakan semua khutbah, JAKIM menyebarkan fahaman pelampau juga adalah salah;

2) Juga bukan semua khutbah yang menyebarkan fahaman yang melampau datang daripada skrip yang diluluskan JAKIM.

Harus diingat bahawa Solat Jumaat adalah wajib bagi semua lelaki Islam. Seperti yang dikatakan oleh Syeikh Hamza Yusuf, ini merupakan temujanji kita bersama Allah s.w.t., di mana umat Islam memakai pakaian terbaik mereka, seperti mana tradisi Kristian yang memakaikan pakaian paling kemas ketika hari Ahad. Maka Solat Jumaat apa dimuliakan oleh umat Islam.

Pun begitu, saya tidak bersetuju bahawa kita patut bertindak ganas, mengugut mahupun menggunakan Akta Hasutan sebagai respon. Eric mengutuk badan berkanun, bukannya Islam itu sendiri. Umat Islam sepatutnya bertindak dengan menggunakan hujah sebagai respon terhadap perkara yang kita tidak setujui.

Pada masa yang sama, harus diingat bahawa khutbah Jumaat sepatutnya bersifat mencerahkan dan menyatupadukan masyarakat setiap minggu. Sebab itulah kita memohon kesejahteraan umat dan negara di dalam doa Solat Jumaat.

Khutbah-khutbah ini seharusnya memupuk persefahaman dan perpaduan. Ini menjadi lebih penting di dalam negara majmuk seperti Malaysia di mana prinsip rahmatan lil alamin – Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam – sepatutnya diperkukuhkan.

Justeru, khutbah-khutbah Jumaat sepatutnya memfokuskan kepada asas-asas Islam iaitu menegakkan keadilan, dan menyebarkan kesejahteraan dan keamanan untuk semua.

Tidak sepatutnya khutbah-khutbah dijadikan alat untuk tujuan politik yang tertentu, dengan menyebarkan matlamat partisan golongan pemerintah.