Saya menyambut baik pengumuman Menteri Pertahanan Haji Mohamad Sabu berkenaan peruntukan sebanyak RM79.6 juta yang akan diagihkan kepada semua veteran Angkatan Tentera Malaysia yang layak menerusi Bantuan Harapan Negara bermula 27 Mei 2019.
Bantuan ini akan menggantikan Bantuan Bakti Negara dan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia 2013. Bantuan ini akan membabitkan 100,762 veteran berpencen dan 58,606 tidak berpencen. Jumlah penerima kali ini lebih besar daripada jumlah penerima bantuan terdahulu.
Bantuan ini fokus membantu pesara tentera yang datang daripada keluarga B40.
Apa yang lebih menggembirakan, kali ini peruntukan BHN diperuntukkan khas dari Kerajaan Persekutuan. Berbeza dengan bantuan sebelum ini – wang yang digunakan ketika itu adalah wang daripada hasil penjualan tanah yang sepatutnya disalurkan untuk kerja-kerja menaik taraf kem-kem tentera sedia ada.
Sejak sebelum Pakatan Harapan menjadi kerajaan lagi, saya konsisten membangkitkan isu kebajikan veteran tentera. Saya beranggapan, ia adalah isu penting dan wajib diberikan perhatian oleh kerajaan. Veteran tentera adalah wira-wira yang telah banyak berkorban demi menjaga kemakmuran negara.
Pada Januari 2017 saya telah mengkritik kerajaan dan Najib Razak berkenaan isu kelewatan pembayaran caruman kepada pesara tentera sehingga berbulan lamanya. Beberapa bulan lepas saya juga ada membangkitkan isu kebajikan tentera dan pertahanan negara. Saya turut membangkitkan isu kebajikan veteran dalam setiap sidang Parlimen termasuk dalam sidang kali ini minggu lepas.
Terima kasih kepada kerajaan atas berita baik kepada semua pesara tentera yang terlibat.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA