Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Respon Pemuda Harapan Kepada Manifesto Pemuda UMNO-Barisan Nasional

Menjelang PRU14, pelbagai inisiatif akan ditawarkan oleh parti-parti politik. Ini termasuk pemuda UMNO-Barisan Nasional yang telah melancarkan manifesto mereka.

Janji Barisan Nasional hanya menjelang pilihan raya sedangkan golongan belia sepatutnya perlu dibela sepanjang masa.

Ini terbukti apabila dalam manifesto Pemuda Barisan Nasional yang baru dilancarkan hanya memberi jaminan kepada lebih satu juta pelajar universiti yang akan menerima bantuan PTPTN sedangkan jalan penyelesaian untuk lepasan graduan mengurangkan beban untuk membayar semula pinjaman tidak disentuh.

Apa yang Pemuda Harapan Malaysia tawarkan pula kepada peminjam ini adalah dengan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam PTPTN selain daripada menangguhkan pembayaran balik PTPTN ke atas peminjam yang bergaji RM4000 ke bawah sebulan.

Setakat November 2017, dilaporkan seramai 447,890 daripada 790,186 rakyat Malaysia yang telah disenaraihitamkan pihak imigresen adalah peminjam PTPTN. Jumlah ini agak membimbangkan kerana separuh daripada yang disenaraihitamkan adalah peminjam PTPTN.

Bagi menangani kos sara hidup, manifesto Barisan Nasional pada PRU13 yang lalu adalah untuk menurunkan yuran jalur lebar sekurang-kurangnya 20 peratus dengan jaminan ‘bandwidth’ internet.

Isu kelajuan internet ini sudah lama dibangkitkan di negara ini dan kita antara paling perlahan di rantau ini. Persoalan ini juga timbul kepada kerajaan Umno BN, apakah yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menjamin akses internet seperti negara-negara maju yang lain?

Tetapi di dalam laporan OpenSignal baru ini telah mengatakan internet 4G di Malaysia antara yang paling lembab di kalangan negara-negara yang dikaji. Menteri pula mengatakan masalah Internet di Malaysia ialah rakyat tidak mahu membayar sedangkan harga Internet kita adalah mahal termasuk berbanding negara-negara seperti Singapura.

Justeru itu, sekiranya kerajaan menjadi milik Pakatan Harapan selepas PRU14, jaminan diberikan untuk pengunaan internet dengan harga lebih murah dan akan menggandakan kelajuan internet sebanyak dua kali daripada kelajuan terkini, dengan kadar separuh daripada harga semasa.

Dalam pada masa sama juga Pakatan Harapan turut menjanjikan capaian internet ditingkatkan terutamanya di luar bandar.

Meskipun lebih 60 tahun negara ini diperintah Umno BN, banyak infrastruktur asas lain seperti sekolah daif khususnya di kawasan pedalaman amat mengecewakan.

Ini kerana masih banyak sekolah di dalam negara ini berada dalam keadaan uzur, termasuk ada yang dibina sebelum merdeka tetapi digunakan sehingga sekarang. Hari ini, BN sekali lagi berjanji untuk menaiktaraf sekolah daif di seluruh negara dalam tempoh lima tahun lagi.

Dari aspek pekerjaan, gaji dan kos sara hidup– nyata Barisan Nasional menerima hujah Pakatan Harapan bahawa cabaran terbesar anak muda adalah keadilan sosial.

Isu insentif perkahwinan untuk membantu pasangan muda sudah ada dalam Tawaran Harapan Anak Muda. Malah bantuan perkahwinan sudahpun diperkenalkan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan Selangor dan Pulau Pinang.

Masalah pekerjaan dan kos sara hidup tidak lain dan tidak bukan disebabkan kegagalan dasar Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib Razak. Kini isu manifesto populis tidak lagi timbul tetapi Barisan Nasional juga menerima dasar-dasar radikal perlu untuk selesaikan kemelut anak muda.

Pokoknya kita berbalik kepada persoalan paling penting: PRU14 adalah referendum tentang GST yang diperkenalkan Najib. Pakatan Harapan jelas mengatakan kami akan menghapuskan GST sebagai sebahagian 10 janji 100 hari Kerajaan Persekutuan yang baru.

Nyatanya, Pakatan Harapan mempunyai keazaman politik untuk melaksanakan perubahan – perubahan yang berani, peduli rakyat dan berwibawa. Barisan Nasional telah gagal.

Apa sudah jadi sejuta rumah baru termasuk perumahan mampu milik? Apa sudah jadi dengan dasar yang lebih adil untuk semua rakyat? Apa sudah janji dengan memansuhkan Akta Hasutan?

Justeru, anak muda sewajarnya tidak teragak-agak beri peluang pada Pakatan Harapan kali ini. Berikan kami lima tahun di Putrajaya untuk kami laksanakan janji kami. Lihat kejayaan kami di Pulau Pinang dan Selangor. Cukuplah enam puluh tahun kita memberi peluang kepada UMNO-Barisan Nasional.

Rakyat mahukan harapan. Rakyat mahukan perubahan.