Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Tindakan ROS Terhadap PPBM Berniat Jahat

Penggantungan sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) begitu hampir dengan pengumuman pembubaran Parlimen jelas merupakan satu tindakan berniat jahat.

Walaupun pihak PPBM telah menuruti permintaan ROS untuk memberikan dokumen sokongan, ROS tidak menjelaskan sama ada ia telah memenuhi syarat dan bertindak menggantung PPBM tanpa mengira keputusan mahkamah yang masih lagi membicarakan hal berkenaan.

Malah tindakan ROS untuk mengumumkan perkara ini melalui satu sidang media juga membayangkan satu tindakan yang disengajakan dan berniat jahat, sedangkan perkara ini boleh dibincangkan secara baik oleh kedua-dua pihak.

Keputusan ini menyusuli tindakan-tindakan Kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang mengancam demokrasi negara dengan meluluskan persempadanan semula dan undang-undang berita palsu tanpa mengambil kira pandangan rakyat yang jelas menentang kedua-dua keputusan tersebut.

Kerajaan UMNO-Barisan Nasional dilihat semakin terdesak untuk kekal berkuasa menjelang Pilihanraya Umum akan datang dengan menetapkan undang-undang serta mengambil tindakan untuk melemahkan parti lawan.

Apa yang disaksikan sepanjang minggu ini telahpun dijangkakan, kerana Pentadbiran Najib Razak semakin rakus dalam pemerintahan.

Sekiranya dibiarkan Najib dan Barisan Nasional terus berkuasa, rakyat akan berhadapan dengan kleptokrat yang akan memerintah dengan kuku besi dan masa depan Malaysia akan terus suram.

PRU14 inilah peluang untuk rakyat mengambil semula kuasa demokrasi yang telah menjadi prinsip penubuhan Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Penggantungan PPBM dan kelulusan persempadanan semula serta undang-undang yang melanggar Perlembagaan tidak sepatutnya mematahkan semangat kita, malah membulatkan tekad mengembalikan harapan rakyat Malaysia.