Pindaan Akta Insolvensi 1967 pada tahun lepas saja tidak cukup untuk selesaikan masalah bankrap yang serius di negara kita.
Antara 2013-2017, 3,276 penjawat awam diisytiharkan bankrap sementara 61,726 penjawat awam menerima pendapatan bersih kurang daripada 60 peratus emolumen mereka ekoran masalah hutang.
Sementara itu antara 2013 hingga Februari 2017, 21,676 atau 25.4 peratus yang bankrap adalah mereka yang 34 tahun ke bawah. Lebih 1,000 terdiri daripada mereka 25 tahun ke bawah – umur yang teramat muda.
Pindaan ini hanya akan berkesan sekiranya reformasi menyeluruh ekonomi negara berlaku termasuk isu pekerjaan, gaji dan upah yang setimpal serta kos sara hidup yang terkawal.
Justeru, Tawaran Harapan Anak Muda oleh Pemuda HARAPAN yang menawarkan satu juga pekerjaan yang baru, kenaikan gaji minima secara beransur-ansur dan pemansuhan GST adalah elemen penting untuk mengurangkan masalah kebankrapan.
Ditambah pula dengan pembinaan sebanyak sejuta rumah mampu milik dalam dua penggal Parlimen, pembayaran semula PTPTN hanya selepas gaji RM4,000 dan pendidikan percuma di IPTA – kami yakin hanya dengan perubahan menyeluruh kita dapat menjamin masa depan yang lebih baik untuk generasi muda.
Ini akan membolehkan kita memacu pertumbuhan ekonomi dengan kuasa beli yang lebih mantap, sekaligus membolehkan kitaran ekonomi yang positif dan membolehkan kerajaan memungut hasil yang lebih.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN