Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Isu Sebenar Graduan Menjadi Penjual Nasi Lemak Atau Pemandu Uber

Kami merasakan kontroversi mengenai komen Dr Mahathir Mohamad mengenai graduan universiti menjadi penjual nasi lemak atau pemandu Uber disalahertikan.

Tidak ada sesiapapun – termasuk Dr Mahathir – yang menyatakan bahawa pekerjaan tersebut adalah pembaziran masa atau tidak mulia. Sesiapa yang memilih dengan sukarela untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti itu – tidak kira apa kelayakan mereka – berhak dihormati sebagai insan dan pekerja.

Namun, hakikatnya ramai anak-anak muda – termasuk graduan universiti – terpaksa terlibat dalam kerja-kerja tersebut bukan kerana pilihan tetapi kerana mereka tidak mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan yang mereka peroleh menerusi pendidikan formal mereka.

Apa yang patut menjadi tumpuan adalah bukan sama ada menjual nasi lemak atau menjadi pemandu Uber itu berbaloi – kerana semua kerja yang halal itu mulia – tetapi bagaimana menyelesaikan masalah graduan tidak mendapat pekerjaan dengan gaji yang setara.

Kita juga harus bertanya sama ada IPTA dan IPTS memberikan graduan-graduan kita kemahiran yang sesuai untuk mendapat pekerjaan.

Ketika sesetengah pimpinan kerajaan menyambut baik kedatangan ‘gig economy’, hakikatnya mereka yang bekerja dalam sektor ini berhadapan cabaran-cabaran besar termasuk kekurangan pengetahuan perundangan dan perlindungan dari pelanggan.

Tidak banyak yang dilakukan untuk melindungi mereka. Ekonomi yang ideal sepatutnya melindungi dan memberikan peluang kepada semua pekerja-pekerjanya – sama ada yang bergaji atau tidak – secara saksama. Ini tidak boleh berlaku dengan pentadbiran Najib Razak.

Pemuda HARAPAN menawarkan ekonomi yang lebih anjal dan adil, termasuk mencipta 1 juta pekerjaan berkualiti, peningkatan gaji dan lonjakan industri kreatif negara.

Kami yakin pendekatan kami adalah yang terbaik untuk masa depan yang lebih lestari. Kami berharap semua anak muda Malaysia akan menyokong kami dalam usaha ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD

KETUA PEMUDA HARAPAN

KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

#BinaSemulaNegara