Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

TAWARAN TAMATKAN MONOPOLI SIARAN EPL DAN LIGA UTAMA LAIN

Selepas pengumuman Tawaran Harapan Anak Muda yang dibentangkan di Konvensyen Pemuda HARAPAN tempoh hari, satu tawaran yang mencuri tumpuan adalah menamatkan monopoli hak siaran Liga Perdana Inggeris sehingga mendapat tentangan daripada Menteri Belia dan Sukan serta Ketua Pemuda UMNO-BN Khairy Jamaluddin sendiri.

Tawaran ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada teras kelima Tawaran Harapan Anak Muda iaitu pembangunan sukan, rekreasi dan keseimbangan kehidupan-kerja.

Khairy menyatakan bahawa wang yang akan diperuntukkan sepatutnya lebih baik digunakan untuk membangun infrastruktur sukan. Kami tidak menidakkan keperluan membina infrastruktur sukan, dan Tawaran yang diumumkan menyentuh isu ini di bawah teras yang sama.

Apa yang perlu dijelaskan di sini adalah tawaran hak menyiar EPL tersebut adalah memberi peluang anak muda menikmati pengisian televisyen yang berkualiti.

Pada masa ini hak menyiarkan EPL adalah milik ekslusif Astro yang tidak dinikmati oleh setiap rakyat Malaysia – dan melibatkan pembayaran yuran yang tinggi.

Adakah hak ini hanya boleh diberikan kepada orang kaya dan mampu? Kita lihat sahaja setiap hujung minggu restoran mamak dipenuhi orang ramai semata-mata untuk menonton perlawanan EPL. Ada juga yang ‘stream’ perlawanan ini secara haram di Internet.

EPL mempunyai tarikan komersial yang tinggi dan RTM mampu meningkatkan pendapatan daripada pengiklanan.

Pada masa yang sama, Kerajaan pada masa yang sama tetap memberikan geran kepada RTM untuk pengisian penyiaran, namun begitu adakah rakyat mendapat pengisian yang berkualiti? Melalui pengisian sedia ada dapatkah RTM menyaingi media siaran yang lain?

Perkara ini bukanlah baru dan sudah ada dipraktikkan di negara-negara lain kerana jelas nilainya secara keseluruhan adalah lebih baik, dan akan mampu dinikmati oleh lebih ramai orang. Malah di UK juga perkara ini dibincangkan dan antara manifesto yang dibentangkan oleh Jeremy Corbyn pemimpin Parti Buruh yang membuat kejutan di pilihanraya UK baru-baru ini adalah untuk mengembalikan hak siaran kepada rakyat dan bukan milik eksklusif badan korporat yang bermatlamat mengaut keuntungan semata-mata.

Khairy tiba-tiba prihatin tentang wang untuk hak penyiaran, tetapi mengapa kepedulian yang sama tidak ditunjukkan kepada wang yang lesap menerusi skandal 1MDB, FELDA dan Kementerian Belia dan Sukan sendiri yang mencecah ratusan juta malah berbilion ringgit?

Isu yang lebih besar yang dilupakan adalah monopoli di bawah UMNO-BN yang selama ini menekan rakyat dan memberi keuntungan kepada segelintir pihak.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN