Angkatan Muda KEADILAN ingin menyatakan kekecewaan kami dengan pengesahan pihak polis bahawa Pengarah NOW yang juga Pengarah Strategi AMK, Akmal Nasir, sedang disiasat kerana memperoleh dokumen YaPEIM secara tidak sah.
Jelas di sini bahawa masih ada yang hendak melindungi penyalahguna kuasa dengan menyiasat sesiapa sahaja yang mendedahkan kepincangan, daripada menyiasat dengan telus perihal yang telah didedahkan.
Walaubagaimanapun, tindakan ini sudah dijangka, kerana sebelum ini di dalam kes seperti 1MDB dan NFC juga pihak polis telah menumpukan sepenuh tenaga menyiasat pendedahan maklumat dan mengabaikan kepincangan yang memakan jutaan, malah berbillion duit rakyat.
Di dalam kes YaPEIM ini, kesemua maklumat yang didedahkan telah disahkan ketulenannya oleh pihak YaPEIM jadi mengapa perlu menyiasat perolehan dokumen tersebut? Adakah pihak berkuasa berharap agar maklumat-maklumat ini tidak langsung diketahui rakyat? Bukankah rakyat berhak mengetahui ke mana perginya duit sumbangan mereka?
Pihak berkuasa perlu sedar bahawa segala wang perolehan YaPEIM adalah hak-hak pihak berkepentingan, yakni orang awam, yang telah memberikan derma secara ikhlas mengharapkan setiap sen wang yang disumbang digunakan untuk kebajikan dan pembangunan masyarakat Islam Malaysia, bukannya untuk membiayai perlancongan Menteri dan keluarganya.
Tindakan pihak berkuasa dan polis di dalam hal ini hanya mengakibatkan penghakisan keyakinan kepada institusi-institusi ini kerana sudah jelas apa yang didedahkan semuanya adalah benar, namun ada pula pihak yang bersekongkol untuk megaburinya daripada pandangan rakyat.
Kami menggesa pihak berkuasa untuk menghentikan amalan mengancam pendedah maklumat – malah mereka sepatutnya dilindungi – dan menumpukan sepenuh masa dan tenaga untuk menyiasat dakwaan salahguna kuasa dan membawa mereka yang bersalah mengkhianati kepercayaan rakyat ke muka keadilan. Itulah yang rakyat mahukan.