Dakwaan akhbar antarabangsa, Wall Street Journal dan blog Sarawak Report bahawa laporan penyiasatan kerajaan terhadap skandal 1MDB menemui sejumlah RM2.67 bilion dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak adalah satu dakwaan yang amat serius.
AMK menggesa agar Najib menjawab isu ini secara segera. Sekiranya dakwaan WSJ dan Sarawak Report tidak benar, maka Najib wajib menyaman mereka serta-merta. Namun, jika Najib tidak menafikan dakwaan tersebut, beliau tiada pilihan melainkan meletak jawatan.
Dakwaan ini adalah dakwaan yang amat serius dan menggemparkan meskipun rakyat Malaysia sudah ‘biasa’ dengan pelbagai skandal rasuah dan ketirisan sebelum ini. Belum pernah wujud salahguna yang begitu ketara sebagaimana yang didakwa oleh WSJ dan Sarawak Report dalam laporan ini.
AMK juga menggesa agar Khairy Jamaluddin menyatakan pendirian Pemuda UMNO dan BN dengan jelas terhadap skandal ini. Anak-anak muda sudah muak dengan skandal yang menelan berbilion-bilion ringgit ketika rakyat dilanda cukai GST, masalah mendapat kerja, beban pelbagai hutang dan kenaikan kos sara hidup.