Keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Mat Ghani Abdullah menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara ke atas Adam Adli di bawah Akta Hasutan adalah sesuatu keputusan yang mengejutkan.
Keputusan ini menggambarkan kerakusan Kerajaan UMNO Barisan Nasional untuk menyekat segala bentuk pandangan kritis yang selari dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan sepatutnya diterima di bawah mana-mana sistem demokrasi. Perdana Menteri Najib Razak menjanjikan untuk memansuhkan Akta Hasutan sebelum ini sebagai transformasi beliau, sebaliknya, tren terbaru menunjukkan semakin hari Malaysia semakin menjadi negara polis.
Lebih malang lagi, siri pendakwaan dan sabitan yang berlaku ini memuncak ketika negara menyambut Hari Kemerdekaan Tanah Melayu dan Hari Malaysia. Akta Hasutan ini merupakan warisan perundangan penjajah yang digunakan untuk mengekang kebangkitan rakyat.
Namun Kerajaan tersilap sekiranya mereka memikirkan pendakwaan besar-besaran di bawah Akta Hasutan ini akan menakut-nakutkan rakyat. Malah, sebagaimana ditunjukkan di dalam kempen-kempen #mansuhaktahasutan selama ini, rakyat pelbagai lapisan dan latar belakang bangkit bersatu menolak undang-undang ini dan akan terus bergerak sehingga undang-undang ini dimansuhkan sama sekali.