Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Penahanan Pasangan Malaysia di Sweden

Penahanan Azizul Raheem Awaluddin, pengarah Tourism Malaysia di Sweden dan isterinya Shalwati Nurshal kerana dilaporkan memukul anak mereka yang berusia 12 tahun kerana tidak mendirikan solat adalah dikesali.

Tambah pula dilaporkan bahawa pasangan ini telah pun ditahan lebih sebulan sementara keempat-empat anak mereka dipindahkan ke rumah jagaan keluarga bukan Islam.

Anak-anak mereka telahpun meluahkan hasrat untuk dijaga oleh keluarga Islam di dalam pertemuan mereka dengan Kedutaan Malaysia dan Perkhidmatan Sosial Sweden. Keluarga jagaan mereka turut menyokong hasrat ini. Saya menghargai usaha semua pihak di dalam mendapatkan kebenaran untuk saudara-mara pasangan tersebut bertemu anak-anak mereka.

Kes ini nampaknya timbul akibat ketidakfahaman antara budaya. Sememangnya kita perlu menghormati undang-undang sesebuah negara namun pada masa yang sama negara tuan rumah sewajarnya sensitif terhadap pelaksanaan undang-undang dan tidak mengambil tindakan yang keterlaluan.

Saya berharap isu ini diselesaikan segera untuk kepentingan semua pihak yang terlibat.