Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Khairy kembali ke zamannya menghunus keris

Saya merujuk komen Menteri Belia dan Sukan serta Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Khairy mengulas komen Naib Presiden KEADILAN dan Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran tentang ucapan Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini tentang pemerkasaan masyarakat Bumiputera.

Surendran telah mengkritik pengumuman Najib tersebut, sehingga Khairy menyebut – sebagaimana dilapor Utusan pada 15 September 2013: “’Kenyataannya keterlaluan. Dia seolah-olah tidak membenarkan kewujudan agensi seperti MARA dan TEKUN. Saya kesal dengan tindakannya itu apatah lagi sebagai Naib Presiden parti. Jika begini sikap pemimpin PKR, tidak mustahil jika mereka berpeluang memerintah negara ini pasti agensi yang mengutamakan orang Melayu dan bumiputera dihapuskan demi kononnya mahu menyamaratakan dengan kaum lain.”

Pertama sekali, Surendran tidak sekali-kali mempersoalkan prinsip memperkasakan masyarakat Bumiputera, mahupun beliau mempersoalkan institusi-institusi seperti MARA mahupun TEKUN.

Apa yang dipertikaikan oleh Surendran ialah pendekatan dan rekod UMNO-BN yang gagal dalam hal ini.

Najib sendiri mengakui bahawa masyarakat Bumiputera masih mempunyai banyak cabaran sebelum mereka dapat berdikari dari segi ekonomi.

Najib juga menyebut bahawa ini untuk “membalas budi” sokongan Bumiputera terhadap BN pada pilihan raya yang lepas – gambaran yang jelas kejahilan beliau terhadap kerajaan berperlembagaan dan demokrasi.
Yang mengundang ketidakpuashatian semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum ialah negara kita terus terperangkap pada takuk yang lama kerana kegagalan Kerajaan.

Apa yang Khairy, mahupun rakan-rakannya di dalam UMNO gagal faham ialah rakyat Malaysia boleh menyokong pemerkasaan ekonomi Bumiputera namun kritis terhadap bagaimana Kerajaan ini – malah mana-mana Kerajaan pun – melaksanakannya.

Sewajarnya juga rakyat mampu untuk menggesa Kerajaan membantu semua yang rakyat yang miskin dan terpinggir tanpa mengira kaum, dan tidak dilabel sebagai penghasut mahupun pengkhianat.

Komen Khairy menggambarkan corak yang lebih besar di kalangan elit UMNO-BN yang menganggap diri mereka kebal dari sebarang kritikan.

Malang sekali cubaan Khairy untuk bertopengkan Perlembagaan Persekutuan bagi menjustifikasikan pendekatan Kerajaan yang kontroversi terhadap pemerkasaan Bumiputera – yang nampaknya hanya memberi manfaat kepada sekelompok kecil.

Sebagaimana dinyatakan Surendran di dalam kenyataannya – Perkara 153 Perlembagaan yang sering disebut-sebut menggariskan kedudukan istimewa orang Melayu dan masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum yang lain.

Ketika negara kita menyambut Hari Malaysia yang ke 50, UMNO terus menerus ingin memecah-belahkan masyarakat kita dan menimbulkan persengkataan antara pelbagai kaum dan agama.

Juga amat merisaukan bahawa rakyat Malaysia terpaksa menerima seorang Menteri Belia dan Sukan yang kononnya “terbuka” dan “sederhana”, tetapi nampaknya tidak memahami Perlembagaan meskipun menuduh pihak lain yang jahil.

Ini mengingatkan kita kepada zaman Khairy menghunus keris dahulu.

Pada 2007, Anwar Ibrahim telah mencipta sejarah dan menggerakkan wacana negara ke hadapan apabila beliau mengumumkan Agenda Ekonomi Malaysia. Visi berani untuk Malaysia ini menggabungkan dasar yang mengiktiraf kebolehan dan tindakan afirmatif tanpa mengira kaum sebagai langkah untuk menjadi negara maju.

Najib cuba meniru idea tersebut dengan pengumuman 1Malaysia dan Model Ekonomi Barunya, namun kedua-duanya terbukti hanyalah kata-kata kosong yang telah gagal menyatukan rakyat dan membawa kemakmuran untuk semua.

Adakah Khairy berani berdebat – dasar mana yang lebih baik – dasar berasaskan kaum atau tindakan afirmatif tanpa mengira kaum?

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.