Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Yang Di-pertua Dewan Rakyat sewajarnya sedar ucapan di Parlimen dilindungi hak keistimewaan Parlimen

Yang di-Pertua Dewan Rakyat harus memperjelaskan komen beliau yang diterbitkan pada 27 Oktober 2016 apabila pihak media melaporkan kenyataan beliau berkenaan bekas menteri kerajaan pusat bahawa “…mereka yang mendedahkan rahsia dan maklumat kerajaan termasuk di dalam Dewan Rakyat dianggap melanggar sumpah kerahsiaan dan etika, dan mungkin berdepan dengan tindakan perundangan.”

Sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, sudah tentu beliau sedar kata-kata ahli Parlimen di dalam persidangan adalah dilindungi oleh hak keistimewaan Parlimen.

Parlimen di United Kingdom mentakrifkan hak keistimewaan parlimen sebagai “…memberi imuniti kepada ahli…untuk membolehkan mereka menjalankan tugas tanpa gangguan di luar Dewan. Hak keistimewaan Parlimen ini termasuklah kebebasan bersuara.”

Di Malaysia, aspek hak keistimewaan ini telah termaktub di dalam Artikel 63 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 63(2) menyatakan: “Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.”

Terdapat beberapa pengecualian di dalam perkara ini.

Artikel 63 (4) menyatakan bahawa: “Fasal (2) tidaklah terpakai bagi mana-mana orang yang dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen di bawah Fasal (4) Perkara 10 atau atas suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 [Akta 15] sebagaimana yang dipinda oleh Ordinan No. 45 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 [P.U. (A) 282170].”

Sesiapa sahaja yang munasabah boleh mengesahkan bahawa apa yang dinyatakan oleh bekas Menteri yang dikatakan itu di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini tidak mungkin boleh ditakrifkan sebagai hasutan.

Malah selain itu sebarang tindakan yang mungkin dikenakan kepada mana-mana bekas Menteri itu hanya boleh berlaku sekiranya mereka telah melakukan penghinaan terhadap Dewan yang mulia, mungkin dengan kata-kata yang mengelirukan Dewan tersebut.

Di dalam hal ini, tanggungjawab membuktikan perkara ini jatuh di tangan Yang di-Pertua Dewan Rakyat ‰ÛÓ sebagai penjaga utama kehormatan Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen juga mempunyai tanggungjawab untuk membela kepentingan rakyat, daripada tanggapan rahsia dengan takrifan yang sudah ketinggalan zaman.

Integriti Dewan Rakyat ada kebergantungan dengan integriti yang kita pegang sebagai sebuah negara. Oleh itu Yang di-Pertua Dewan Rakyat seharusnya menegakkan kepentingan rakyat melebihi segala perkara yang lain dan membenarkan ahli Parlimen, tidak kira siapa mereka, untuk membawa isu-isu penting negara daripada melindungi maruah Kerajaan yang semakin rapuh.