Angkatan Muda Keadilan mendapati pendedahan terkini oleh Pengarah National Oversight & Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir berkenaan kepincangan penggunaan wang badan kebajikan YaPEIM sebagai menggusarkan.
Akmal turut merupakan Pengarah Strategi AMK.
Laporan pertama yang didedahkan adalah berkenaan gaji bulanan beberapa pengurusan atasan yang mencecah RM154,700 sebulan, satu amaun yang agak melampau jika dikira organisasi itu adalah satu badan kebajikan.
Sekarang keluar pula pendedahan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom, telah menyalahgunakan sebanyak RM410,978.56 daripada duit badan berkaitan kerajaan itu untuk
membiayai rombongannya ke Amerika Syarikat, yang melibatkan permainan golf dan perlbagai hiburan.
Jutaan ringgit wang yayasan yang telah diamanahkan oleh penderma, telah disalahguna untuk mengayakan beberapa individu. Perlu diingatkan di sini bahawa organisasi tersebut adalah sebuah badan kebajikan yang ditubuhkan untuk membantu mereka yang memerlukan termasuklah anak yatim piatu. Tindakan menggunakan wang yayasan tersebut untuk kepentingan sendiri amatlah tidak berhati perut.
Kami menyeru Menteri tersebut untuk ke hadapan dan memberi penjelasan agar dapat membersihkan nama sendiri daripada dakwaan yang berasas ini, dan menjelaskan kepincangan yang melibatkan orang-orang yang dia sendiri lantik ke pengurusan YaPEIM. Kegagalan untuk berbuat demikian bermakna dia mengaku salah dan seharusnya meletakkan jawatan sebagai Menteri kerana telah memecah amanah yang telah diberikan.
Kami juga minta pihak berkuasa, terutamanya SPRM, untuk menyiasat perkara ini dengan telus untuk memastikan tidak ada sesiapa pun yang terlepas, dan mereka yang bersalah dibawa ke muka keadilan.
Pihak berkuasa harus memastikan pendedah maklumat, Akmal, dilindungi sepenuhnya.