Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Laporan Polis terhadap Ruslan Kasim

Saya telah membuat satu laporan polis terhadap Ketua Perkasa Negeri Sembilan, Ruslan Kasim.

Pada 23 Jun 2014, Ruslan telah mengatakan kenyataan ini dalam sebuah demonstrasi di luar Istana Kayangan di Shah Alam.

“Suara mereka suara Israel, mereka yang anti Islam, minda mereka dicemari dengan musuh Islam…Jika kamu tidak tutup mulut kamu daripada terus memperkotak-katikkan Islam, kita akan tutup mulut kamu dan jika kamu mengkhianati Sultan, kita akan pancung kepala kamu…Biarkan kamu mati daripada terus menjadi parasit.”

Kenyataan ini jelas ditujukan kepada empat orang Ahli Parlimen PAS yang menggesa untuk menghadkan kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) susulan kepada kontroversi rampasan bible dalam Bahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Kenyataan Ruslan ini dilihat sebagai tidak bertamadun dan jelas ia adalah satu kesalahan.

Kenyataan beliau itu lagi langsung tidak membantu dan dilihat sebagai tidak bertanggungjawab bagi seorang rakyat di sebuah negara yang mempunyai berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia.

Ini adalah sebuah negara yang mempunyai undang-undang. Tiada seorang pun mempunyai hak untuk mengugut dan melakukan keganasan termasuklah pegawai yang dilantik atas apa jua alasan.

Sekiranya Ruslan mempunyai ketidakpuasan hati yang berasas, beliau sewajarnya merujuk kepada undang-undang. Ini adalah kerana, kenyataan beliau jelas sekali menunjukkan bahawa beliau dan Perkasa sedang menghina mahkamah dan undang-undang di negara ini.

Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara yang aman dan sejahtera jika individu seperti Ruslan dan organisasi seperti Perkasa dibenarkan membuat ugutan seperti ini.

Hakikatnya, dengan perbuatan biadap sebegini, mereka langsung tidak menyokong dalam memartabatkan Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu.

Jika Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaannya benar-benar serius dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang, mereka sepatutnya mengambil tindakan segera terhadap Ruslan, Perkasa dan pertubuhan-pertubuhan seperti mereka.

Walaubagaimanapun, dia tidak perlu didakwa di bawah Akta Hasutan, atau pun menunggu untuk sebuah Rang Undang-Undang keharmonian untuk dibentangkan dan dikuatkuasakan.

Ini kerana, tindakan Ruslan ini jelas sekali termaktub sebagai sebuah ugutan jenayah di bawah Seksen 503 Kanun Keseksaan.

Saya tegaskan di sini, tindakan wajib diambil terhadap Ruslan dan Perkasa demi menjaga keamanan dan keharmonian di Malaysia.