Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kesal Sikap Tuan Guru Dato’ Seri Haji Hadi Awang

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia kesal dengan kenyataan Presiden PAS Dato’ Seri Haji Hadi Awang yang mendakwa bahawa Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berkebolehan untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Setelah PAS bermesyuarat secara berasingan, dan kemudian bersama dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, di mana nama Dr. Wan Azizah dikemukakan dalam kedua-dua proses ini, kenyataan Tuan Guru Haji Hadi Awang yang mendakwa Presiden KEADILAN sebagai tidak berkebolehan sangat tidak wajar.

AMK Malaysia percaya mana-mana pemimpin tidak terlepas daripada kemungkinan kelemahan dan ini seharusnya menjadikan mereka lebih demokratik dan tidak meminggirkan kepentingan untuk sama-sama berganding bahu dalam membuat keputusan.

Dr. Wan Azizah telah memimpin KEADILAN sejak 1999, dan pernah diangkat sebagai Ketua Pembangkang pada tahun 2008 yang turut diiktiraf Presiden PAS. Beliau telah mencipta sejarah membina gagasan parti politik pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara yang telah memberi peluang kepada begitu ramai wanita turut serta sebagai pemimpin di pelbagai peringkat.

Saya menggesa Presiden PAS agar menghormati keputusan pimpinan pusat PAS dan Majlis Pimpinan Pakatan dan menarik balik kenyataan beliau yang telah mendakwa Presiden KEADILAN sebagai tidak berkebolehan. Kenyataan itu amat tidak kena dalam semangat setiakawan Pakatan apatah lagi dikeluarkan daripada Presiden sebuah parti komponen kepada Presiden parti komponen yang lain.

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.