Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Raikan Demokrasi dalam Semangat Persaudaraan Pada Pemilihan KEADILAN 2014

Saya dan pasukan AMK Untuk Malaysia mengucapkan tahniah kepada semua calon-calon yang bertanding dalam pemilihan KEADILAN 2014.

Hari pencalonan pada 29 Mac yang lalu menandakan permulaan antara pemilihan parti yang paling penting dalam sejarah KEADILAN yang akan mencapai usia 15 tahun pada minggu ini.

Ini merupakan pemilihan kedua di mana KEADILAN menjalankan proses satu anggota satu undi, yang menjadikan KEADILAN parti arus perdana pertama di Malaysia yang memilih langkah radikal ini.

Saya berharap agar proses pemilihan ini akan berlangsung dengan terbuka, meriah, adil dan beradab.

Pemilihan AMK menunjukkan proses yang paling positif dengan pengumuman awal calon-calon bertanding dan seterusnya Program Debat yang diadakan di Batu Pahat pada 1 Mac yang lalu. Saya mengalu-alukan idea-idea yang bernas diutarakan oleh calon-calon AMK yang lain tentang halatuju AMK, KEADILAN dan Malaysia secara keseluruhannya.

Saya yakin bawa pasukan saya, AMK Untuk Malaysia, mempunyai wawasan, pengalaman dan kepelbagaian untuk menggerakkan sayap, parti dan negara kita.

AMK mesti terus berkhidmat dan menjadi suara anak muda Malaysia daripada pelbagai latar belakang. Jika dipilih, inilah agenda saya.

Pokoknya, kita semua merupakan anggota KEADILAN yang cintakan tanah air dan parti kita.

Disiplin dan perpaduan amatlah penting sepanjang pemilihan.

Anak muda khususnya dan orang ramai amnya menuntut kita menekankan aspek-aspek tersebut.

Kita akan dinilai bukan sahaja dengan pimpinan yang kita pilih, tetapi cara yang digunakan untuk memillih mereka.

Seluruh rakyat Malaysia sedang memerhatikan kita dan kita tidak boleh mengecewakan mereka.