Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Mengecam Hukuman Mati Terhadap 529 Penyokong Morsi

Saya mengecam tindakan zalim Mahkamah Mesir telah menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 orang penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi atas kesalahan keganasan dan kematian seorang anggota polis dalam satu perbicaraan besar-besaran yang hanya dijalankan selama 2 hari.

Sepatutnya keputusan yang berat seperti hukuman mati terhadap seseorang tertuduh perlulah dibuat dengan teliti setelah mengambil kira semua keterangan dan berdasarkan bukti yang kukuh. Manakala, cara Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati ini dengan pantas tanpa memberi peluang untuk peguambela membentangkan kes mereka adalah satu salah laksana keadilan yang besar. Adalah jelas bahawa hakim tersebut tidak menjalankan proses kehakiman dengan sempurna dan adil.

Perkara ini amat mendukacitakan. Ini adalah ketidakadilan dan penindasan teruk terhadap penyokong Morsi terutamanya pihak Ikhwanul Muslimin.

Warga dunia tidak boleh berdiam diri atau mengambil sikap dwi-standard terhadap pencabulan hak asasi yang begitu serius ini.