Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Reformasi: Perjuangan Diteruskan

Beberapa hari kebelakangan ini negara kita berhadapan dengan beberapa insiden-insiden besar. Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tidak bersalah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Anwar Ibrahim dalam kes Fitnah II.

Pada 12.41 pagi 8 Mac, penerbangan MH370 pula berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing tetapi kurang dari satu jam kemudian, kawalan trafik udara tidak dapat berhubung dengan pesawat yang membawa 227 orang anak kapal tersebut.

Ketika esei ini ditulis, pesawat ini masih tidak dapat dikesan, menjadikan insiden ini antara tragedi penerbangan paling bermisteri dalam sejarah.

Saya berusia 16 tahun pada 1998 ketika Anwar dipecat dan dipenjara untuk kes yang pertama. Saya masih ingat betapa terkejutnya semua rakyat Malaysia malah masyarakat antarabangsa ketika itu.

Meskipun muda, saya mengikuti politik secara dekat dan mengetahui kerosakan institusi yang dibuat oleh Dr Mahathir Mohammad terhadap institusi diraja, kehakiman, perkhidmatan awam dan media. Tetapi fitnah jijik dan penderaan terhadap Anwar, yang ditatang bagai minyak yang penuh oleh Mahathir sebelum itu adalah sesuatu yang cukup luar biasa.

Selepas dekad 80an yang bergelora ketika Mahathir dicabar dan dia bertindakbalas dengan membentuk negara mengikut imejnya sendiri, beliau kemudian menggagaskan Wawasan 2020 yang berteraskan Bangsa Malaysia yang maju, liberal dan demokratik. Namun, impian ini berkecai sebaik sahaja Anwar muncul dengan mata lebamnya, dan sehingga hari ini impian ini tidak muncul kembali.

Amarah rakyat ini mengakibatkan protes besar-besaran di jalanan, dan kerajaan ketika itu bertindakbalas dengan satu-satunya cara yang mereka tahu – dengan keganasan, tangkapan malah seksaan.

Kini drama berasaskan skrip yang sama muncul kembali, semata-mata untuk menjatuhkan Anwar. Seperti episod pertama dahulu, pendakwaannya sarat dengan pelbagai kesilapan yang tampak melucukan, tetapi tuduhannya dan kesannya adalah amat serius. UMNO-BN memilih masa ini untuk menggagalkan langkah Kajang yang sebelum ini telah mengejutkan mereka.

Generasi yang masih ingat zaman edan Reformasi kini mendapati kita berada dalam déjà vu. Mahathir mungkin sudah bersara, tetapi Mahathirisme masih hidup. Musuh-musuh politik masih difitnah dan dipenjarakan. Di sebalik slogan-slogan transformasi dan wasatiyyah pentadbiran Najib Razak, sebenarnya tiada perubahan yang ketara.

Justeru, penting untuk kita tidak membiarkan detik ini berlalu begitu sahaja. Sesetengah pihak yang sinis mengatakan ini hanyalah isu peribadi Anwar. Namun inilah pencetus kesedaran politik bagi ramai anak muda dan rakyat yang sebelum ini tidak kisah tentang politik. Usah kita lupa, ramai menjangkakan kematian Reformasi apabila pihak pembangkang khususnya KEADILAN tinggal satu kerusi Parlimen sahaja pada Pilihan Raya Umum ke-11 lalu. Ada yang meletakkan tarikh luputnya apabila Anwar dibebaskan pada separuh kedua tahun yang sama, memandangkan mereka melihat Reformasi ini semata-mata gerakan bebaskan Anwar.

Namun, erti Reformasi jauh lebih besar. Apabila kita melihat semula perubahan politik besar pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan lima tahun berikutnya yang memuncak dengan pilihan raya umum terbaru negara, jelaslah Reformasi memainkan peranan yang besar dalam menjana perubahan politik tempatan.

Impak terbesar Reformasi ialah untuk meletakkan agenda hak asasi, demokrasi dan keadilan sosial di arus perdana politik Malaysia selepas berpuluh-puluh tahun wacana didominasi kaum dan agama. Hingga ke hari ini, pihak berkuasa cuba memastikan isu utama masih lagi isu-isu yang memecah-belahkan ini.

Pemecatan Anwar membawa politik negara ke tahap yang paling hina apabila kerajaan cuba berhadapan dengan lawan politik menerusi politik kotor dan ganas, bukannya dengan hujah.

Jangan kita biarkan mereka berjaya dengan helah ini. Ramai anak-anak muda yang lantang dan aktif dengan pelbagai cara berbeza dan berani yang lahir berikutan Reformasi, 8 Mac 2008, Bersih dan 5 Mei 2013.

Keputusan Pilihan Raya Kecil Kajang, yang sepatutnya ditandingi Anwar memberi signal yang jelas. Dr Wan Azizah Wan Ismail menang dengan peratusan undi popular yang lebih tinggi, termasuk di kawasan Melayu yang menjadi kubu-kubu UMNO sebelum ini.

Keputusan mahkamah ini mestilah mengingatkan kita bahawa perjuangan mesti diteruskan. Kita harus menunjukkan bahawa pemenjaraan Anwar tidak akan melemahkan kita, tetapi memberikan semangat kepada kita untuk memperjuangkan hak kita dan mengubah negara ini ke arah kebaikan.

Usah kita lupa insiden besar satu lagi yang melanda negara kita yang saya sebut sebelum ini, iaitu kehilangan MH370. Mari kita mendoakan keseelamatan penumbang, kakitangan penerbangan dan keluarga mereka.