Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Mencapai Persefahaman Untuk Reformasi Dan Kestabilan

oleh Nik Nazmi Nik Ahmad & Chang Lih Kang

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu telah hadir memenuhi jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia bagi menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika proses pemilihan Perdana Menteri yang baharu agar semua pihak dan parti-parti politik menurunkan suhu politik ketika kita sedang berhadapan dengan krisis kesihatan, pendidikan dan ekonomi di negara ini.

Ini bukanlah persoalan kerajaan perpaduan.

Sebaliknya ia terarah pada persefahaman asas untuk kestabilan badan eksekutif dan pertukaran reformasi untuk badan legislatif setelah PH mendesak kerajaan untuk melakukan peningkatan radikal dalam strategi memerangi COVID-19, perbelanjaan fiskal yang lebih besar yang memfokuskan pada pekerja serta perusahaan kecil dan sederhana.

Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga membuat tawaran kepada pembangkang; tetapi ia ditolak oleh kepimpinan PH.

Apa bezanya kali ini?

Muhyiddin memiliki masa yang panjang sebelum in untuk berunding dengan pembangkang tetapi beliau bukan sahaja tidak melakukannya, beliau sanggup menangguhkan persidangan Parlimen, menggantung Parlimen dengan darurat dan seterusnya kerajaannya telah mengelirukan Parlimen tentang pembatalan darurat.

Ringkasnya, tawaran Muhyiddin dibuat oleh kerajaan yang sudah hilang majoriti, tidak bertanggungjawab dan mencari dahan untuk bertahan; Ismail Sabri adalah Perdana Menteri baharu dengan majoriti yang sah (walaupun kecil).

Kuncinya adalah melampaui pendekatan jual-beli atau tawar-menawar terhadap politik. Oleh itu, kita mesti berfikir di luar kotak dan meletakkan matlamat untuk sesuatu yang lebih besar.

Malaysia, suka atau tidak, memerlukan reformasi yang lebih mendasar, termasuk Parlimennya untuk memastikan bahawa peranannya sebagai suara rakyat dan proses semak dan imbang yang berkesan kepada Eksekutif dapat dipulihkan.

Kami juga yakin bahawa peralihan ini akan menyumbang kepada respons nasional yang lebih berjaya khususnya terhadap wabak dan kebangkitan semula ekonomi negara.

Kerajaan harus memberikan komitmen dan segera melakukan reformasi besar bagi Parlimen termasuk kebangkitan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen untuk menjadikan badan perundangan benar-benar bebas dari eksekutif dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang lebih seimbang dan berfungsi dengan lebih baik.

Pada masa yang sama, kerajaan harus membuat penambahbaikan semula secara radikal Suruhanjaya Pilihan Raya dan pelaksanaan Undi18 segera.

Harus ada jaminan pembaharuan ini akan dilaksanakan berdasarkan persefahaman tersebut, tanpa ada kemungkinan berlakunya perselisihan atau keraguan untuk memperolehi jaminan agar pembangkang tidak melakukan undi tidak percaya terhadap kerajaan.

Ini bukan sahaja akan memberikan kestabilan dan membantu mempermudahkan fasa pemulihan Malaysia dari COVID-19 serta pemulihan ekonominya, tetapi juga memastikan bahawa pembaharuan yang lama diperlukan terhadap demokrasi kita dapat dilakukan tanpa halangan. Kestabilan tanpa pembaharuan tidak akan bermakna.

Dari segi langkah seterusnya, perbincangan jawatankuasa kerja harus diselesaikan setelah pelantikan barisan Kabinet baharu diumumkan.

Pada setiap ketika, kepentingan terbaik rakyat harus menjadi matlamat tertinggi kita.

CHANG LIH KANG ialah Naib Presiden KEADILAN dan Ahli Parlimen Tanjong Malim manakala NIK NAZMI NIK AHMAD adalah Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN dan Ahli Parlimen Setiawangsa