1 Oktober 2020
APLIKASI JOMPARKING: BERI TEMPOH MASA UNTUK MIGRASI, SELESAI ISU BAKI
Kami mengambil maklum notis singkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bertarikh 30 September 2020 berkenaan kaedah baharu pembayaran caj petak tempat letak kereta bahu jalan di Kuala Lumpur berkuatkuasa 1 Oktober 2020.
Kami difahamkan mesin pembayaran bagi tempat letak kereta bahu jalan diberhentikan serta-merta, dan aplikasi JomParking juga bukan salah satu e-wallet yang akan digunakan bermula 1 Oktober 2020.
Untuk makluman semua, Setakat 2016, terdapat sebanyak 46,100 petak parkir bahu jalan. Pada masa yang sama, setakat Disember 2019, kami difahamkan terdapat seramai 330,000 pengguna aplikasi JomParking.
Oleh itu, arahan terbaharu ini sudah pasti memberi kesan kepada pengguna yang perlu berhijrah atau bermigrasi dari aplikasi lama ke yang baharu, termasuk isu baki akaun JomParking yang perlu dipindahkan atau dipulangkan.
Pengguna yang tidak biasa menggunakan e-wallet juga akan terkesan dengan ketiadaan mesin pembayaran fizikal, dan kempen kesedaran bersesuaian juga perlu dilaksana segera.
Oleh itu, kami memohon agar Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mempertimbang tempoh satu bulan, iaitu bulan Oktober 2020 ini, di mana tindakan saman tidak dikenakan terhadap pengguna tempat letak kereta bahu jalan.
Kami juga menggesa agar isu baki akaun JomParking diselesaikan dengan segera, sama ada dengan pemindahan baki tersebut dari akaun JomParking ke mana-mana akaun e-wallet lain yang dipilih pengguna, atau dengan pemulangan baki penuh kepada pengguna.
Sebagai wakil rakyat Kuala Lumpur, kami akan terus memantau isu ini dan bersedia membantu pihak DBKL dan pengusaha JomParking untuk mencari penyelesaian terbaik demi kebaikan warga Kuala Lumpur. Kami berharap isu ini akan dapat diselesaikan segera dengan cara yang terbaik.
YB Tan Kok Wai
Ahli Parlimen Cheras
YB Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai
YB Hannah Yeoh
Ahli Parlimen Segambut
YB Nik Nazmi Nik Ahmad
Ahli Parlimen Setiawangsa
YB Fong Kui Lun
Ahli Parlimen Bukit Bintang
YB Teresa Kok
Ahli Parlimen Seputeh
YB P Prabakaran
Ahli Parlimen Batu
YB Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong
YB Datin Paduka Dr Tan Yee Kew
Ahli Parlimen Wangsa Maju