Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

AMK ucap tahniah kepada #UM5

AMK ingin mengucapkan tahniah kepada mahasiswa Universiti Malaya, #UM5, yang telah berjaya mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan Universiti tersebut untuk menghukum mereka kerana menganjurkan pidato bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lepas.

Keputusan Universiti Malaya untuk menidakkan hak pelajar-pelajar ini memasuki kelas malah menghukum mereka dari sudut kewangan hanya kerana membuka universiti tersebut kepada wacana ilmu amatlah menggusarkan.

Hakim Datuk Azimah Omar, dengan membenarkan semakan kehakiman itu, telah memberi harapan baru kepada pelajar-pelajar universiti tanahair yang dahagakan kebebasan di dalam perihal akademik dan pembelajaran.

Pelajar-pelajar universiti tidak patut dibelenggu dengan sekatan terhadap kebebasan berpolitik, kerana realitinya adalah pelajar-pelajar ini yang akan menentukan arah tuju pimpinan negara pada masa akan datang.

Kita juga lihat bagaimana sebarang program atau aktiviti yang melibatkan ahli politik pihak kerajaan Barisan Nasional dibenarkan, tetapi layanan yang bertentangan diberikan bagi mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan BN/Umno. Mereka perlu bersifat dwi-standard terhadap pelajar-pelajar sendiri?

Dengan itu saya ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada #UM5, Fahmi Zainol, Safwan Shamsuddin, Haw Yu Hong, Adam Fistival Wilfred dan Khairol Najib Hashim di atas kecekalan anda dalam menghadapi kezaliman, dan menegakkan keadilan.

AMK akan tetap menuntut kebebasan akademik bagi setiap mahasiswa negara ini tidak kira fahaman politiknya dan menyokong sebarang usaha untuk membentangkan wacana keilmuan di dalam dan di luar Universiti.