Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Tidak Tepat untuk Khairy Katakan Pakatan Belum Mampu Mentadbir Negara

Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin bahawa Pakatan Rakyat belum mampu mentadbir negara berikutan isu kepimpinan negeri Selangor adalah tidak tepat.

Harus diingat, meskipun Pakatan Rakyat sebagai gabungan tidak wujud sebelum PRU ke-12, namun sebaik sahaja PAS, KEADILAN dan DAP memenangi majoriti kerusi di Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah, Kerajaan Negeri dapat dibentuk di kelima-lima negeri tersebut dan gabungan Pakatan Rakyat diasaskan.

Semenjak itu, Pakatan Rakyat telah mengadakan konvensyen pada setiap tahun dan melakar sejarah dengan pelbagai dasar bersama seperti Belanjawan Pakatan Rakyat, Kerangka Bersama, Buku Jingga dan Manifesto Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat yang mendapat dokongan 51 peratus rakyat Malaysia pada PRU ke-13 yang lalu juga bersifat sebagai perkongsian tiga parti yang sama pentingnya, bukan seperti BN yang mana UMNO jauh bersifat dominan berbanding parti-parti komponen yang lain. Maka keputusan yang diambil perlulah mendapat mandat persetujuan bersama, bukan keputusan satu pihak sahaja.

Jika perbezaan pendapat menjadi ukuran, beliau wajib melihat kembali senarai perbezaan pendapat pimpinan UMNO dalam parti sendiri, atau dengan parti-parti komponen yang begitu panjang juga senarainya. Cuma UMNO-BN memegang teraju media arus perdana, tidak seperti Pakatan Rakyat. Maka perbezaan UMNO-BN cuba disorok sementara perbezaan Pakatan Rakyat diperbesar-besarkan.