Pertemuan Najib dengan Trump timbulkan banyak persoalan

Perdana Menteri Najib Razak telah bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Isu utama adalah apakah manfaat yang diperoleh dari lawatan tersebut untuk kepentingan Malaysia.

White House melaporkan bahawa sebelum pertemuan bilateralnya dengan Presiden Trump, Najib berkata “kami mahu menolong anda memperkukuhkan Amerika Syarikat.”

Ini katanya termasuklah menambahkan pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Airlines, pelaburan “tiga hingga empat bilion dolar oleh untuk membantu pembangunan semula infrastruktur anda (Trump) di Amerika Syarikat” dan untuk Khazanah Nasional juga meningkatkan pelaburannya di syarikat berteknologi tinggi di Silikon Valley.

Sekali lagi beberapa persoalan timbul. Mengapa Malaysia ingin memperkukuhkan Amerika? Apakah impak kita jika ada pun dalam perkara ini? Pada masa yang sama adalah aneh untuk kita melabur dalam infrastruktur Amerika tetapi meminta pelaburan untuk projek di negara kita sendiri daripada China.

Di samping itu, meskipun sememangnya kita tidak mempersoalkan kenyataan Najib bahawa Malaysia “komited memerangi Daesh, IS, Al-Qaeda, Abu Sayyaf – apa sekalipun” berdasarkan catatan White House, isu Palestin dan Rohingya tidak disebut di dalam pertemuan tersebut.

Mengapa – jika Najib benar-benar menjuarai isu-isu ini – beliau tidak membangkitkannya dengan Trump?

Washington Post juga melaporkan bahawa Perdana Menteri menginap di Trump International Hotel di Washington DC. Berapa banyakkah kos penginapan ini, yang ditanggung pembayar cukai Malaysia?

Juga harus diingatkan Presiden Trump masih memiliki kepentingan di dalam hotel tersebut secara ‘revocable trust’. Mekanisme ini telah dikritik oleh masyarakat sivil dan media Amerika, kerana dikatakan Presiden masih memperoleh keuntungan daripada perniagaannya.

Persoalannya kemudian timbul sama ada sesuai untuk delegasi Malaysia ditempatkan di hotel ini.

Najib dan pentadbirannya mesti menjawab persoalan-persoalan ini.

 

Keganasan ke atas kaum Rohingya mesti dihentikan sekarang

Semua rakyat Malaysia sudah tentu begitu terkesan dengan keganasan dan kesengsaraan yang berlaku ke atas wilayah Rakhine di Myanmar, terutamanya segala tindakan ganas yang dikenakan ke atas kaum Rohingya.

Keganasan dan krisis kemanusiaan yang berlaku ke atas Rohingya bukan sahaja berkemungkinan menganggu kestabilan Myanmar dan negara jiran, tetapi juga kepada rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Oleh itu seluruh rakyat Malaysia haruslah bersatu untuk menggesa kerajaan, dan masyarakat antarabangsa — termasuklah institusi seperti PBB, OIC dan ASEAN — untuk mengambil segala tindakan diplomatik yang boleh mengakhiri keganasan di Rakhine.

Pada masa yang sama, penyelesaian yang berkekalan ke atas status kaum Rohingya juga mestilah dicapai — termasuklah mempertahankan hak kerakyatan mereka di negara Myanmar dengan segera.

Saya berharap agar Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat akan membenarkan Ahli Parlimen Malaysia untuk membahaskan isu ini apabila Dewan bersidang semula nanti.

Sememangnya ini masa paling sesuai untuk memanggil sidang Parlimen tergempar untuk membincangkan dasar luar negara yang perlu diambil oleh Malaysia untuk mengakhiri malapetaka ini.

Saya juga berharap agar pihak berkuasa lebih berhemah ketika berurusan dengan penunjuk perasaan Rohingya yang ditahan tempoh hari berdekatan Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, di dalam lunas undang-undang.

Kita tidak harus lupa bahawa beberapa tokoh daripada Kerajaan Persekutuan dan parti politik tertentu, suatu ketika dulu, telah mengambil bahagian di dalam satu perhimpunan yang sama untuk menegakkan hak Rohingya.

Walaubagaimanapun, akhirnya di dalam hal ini hanya Kerajaan Myanmar yang mampu membawa keamanan kepada wilayah Rakhine dan memberi keadilan kepada kaum Rohingya — termasuklah Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi dan Angkatan Tentera Myanmar (Tatmadaw) di bawah Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.

Mereka sepatutnya sedar bahawa mereka sejarah tidak akan berpihak kepada mereka di dalam isu Rohingya ini.

Keterlibatan Aung San Suu Kyi di dalam keganasan ini memalukan Anugerah Nobel Keamanan yang diperolehnya pada tahun 1991 yang mana beliau diiktiraf kerana “…perjuangan tanpa keganasan untuk demokrasi dan hak asasi” serta penegasan ke atas “keperluan untuk perdamaian di dalam negara yang terlalu berpecah”.

Malah tindakan Tatmadaw sudah tentu akan merosakkan integriti Myanmar yang Jeneral Kanan Min Aung Hlaing telah berikrar untuk pertahankan.

Mereka mempunyai kuasa untuk menghentikan tumpahan darah di Rakhine dan tekanan ke atas kaum Rohingya.
Segala pembunuhan ini mestilah dihentikan sekarang.

AMK Gesa Malaysia Ambil Pendirian Larangan Kemasukan Orang Islam oleh Trump

Saya mengecam Arahan Eksekutif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menghalang kemasukan individu daripada beberapa buah negara majoriti Muslim.

Seperti yang telah dibahaskan oleh ramai pengkritik, arahan tersebut adalah tidak sah, tidak berperikemanusiaan malah ianya bersifat perkauman. Ia juga telah menyebabkan beberapa individu yang mempunyai dokumentasi yang sah ditahan di beberapa lapangan terbang, walaupun ada yang telah dilepaskan. Ini telah membangkitkan kemarahan rakyat Amerika yang membantah tindakan kejam kerajaan mereka ini.

Dengan itu saya juga mengalu-alukan keputusan Hakim Mahkamah Persekutuan AS, Ann Donnelly, yang menghalang pihak kerajaan AS daripada mengusir keluar pendatang yang sedang ditahan di lapangan terbang. Saya juga ingin menzahirkan sokongan terhadap usaha pihak-pihak yang hendak membatalkan arahan tersebut.

Saya juga memanggil pihak Persekutuan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara-negara bertamadun dunia untuk bersatu dan memberi tekanan kepada pentadbiran Trump untuk menghentikan tindakan ini.

Walaupun setiap negara mempunyai hak untuk mengawal selia sempadan mereka sendiri, tetapi tindakan ini tidak akan memberi jaminan mana-mana negara di dunia ini, termasuklah AS, akan lebih selamat. Malah ia akan menggalakkan lagi kesenjangan di antara AS dan negara-negara Islam. Ini pula akan mengembangkan lagi agenda kebencian kumpulan ekstremis.

Trump juga telah melemahkan lagi keselamatan AS dengan mengeluarkan Pengerusi Ketua Turus Bersama (Joint Chief of Staff) dan Pengarah Perisikan Negara daripada kehadiran Majlis Keselamatan AS.

Kerusi ini pula telah diberikan kepada Penasihat Kanan beliau, Stephen K Bannon, seorang bekas aktivis politik yang mempunyai kepercayaan dan retorik yang sering dipersoalkan.

Oleh itu arahan menghalang kemasukan Muslim ini adalah meragukan.

Perkembangan ini menggugat keselamatan AS dan seluruh dunia secaranya amnya.

Saya menyarankan Perdana Menteri Najib Razak, yang dikatakan merupakan seorang rakan golf Trump dan telah mengucap tahniah kepada beliau atas kemenangan pilihanraya AS baru-baru ini, untuk menyatakan pendirian di dalam hal ini, sama ada beliau menyokong atau membantah.

Saya juga menggesa satu sidang khas Parlimen diadakan agar ahli Parlimen boleh membincangkan hal ini dan memutuskan reaksi negara terhadap tindakan tersebut serta yang kita boleh ambil untuk membantu pelarian yang akan terkesan.

Kita juga seharusnya mengambil peluang ini untuk mencermin diri dan menyedari apa yang kita sendiri lakukan serta layanan yang kita berikan kepada pelarian dan pendatang. Ini termasuklah keengganan pihak kerajaan untuk menandatangani Konvensyen PBB Terhadap Status Pelarian 1951 dan Protokol Berkenaan Status Pelarian 1967.

Di dalam kita mengecam kezaliman, kita juga haruslah pastikan perkara sama tidak berlaku di negara kita sendiri.

AMK mengutuk hukuman mati ke atas pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir

AMK amatlah kecewa dengan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas pemimpin-pemimpin dan para aktivis Mesir, termasuklah Presiden yang telah digulingkan, Mohamed Morsi, Pemimpin Kanan Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie dan ulama’ tersohor Dr Yusuf Al Qaradawi (seorang tokoh Ma’al Hijrah Malaysia) di atas beberapa tuduhan. Malah, terdapat 105 orang lain yang dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah Mesir.

Seperti yang dinyatakan oleh Amnesty International di dalam kes Presiden Morsi, “Menjatuhkan hukuman mati ke atas Mohamed Morsi selepas perbicaraan yang tidak adil hanya memperlekehkan hak asasi manusia. Beliau telah dihukum walaupun belum sempat menjejak kaki ke mahkamah. Beliau telah ditahan berbulan-bulan tanpa bayang, dan tidak mendapat pengawasan kehakiman, malah tidak diwakili peguam semasa soal siasat. Hal-hal ini jelas mencerminkan bahawa perbicaraan ini adalah sandiwara semata-mata berdasarkan prosedur yang tidak sah.”

Saya juga bersetuju dengan kutukan keras Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan, yang menyatakan, “Mesir sudah berubah menjadi Mesir zaman purba”. Beliau juga berhujah bahawa negara-negara Barat terus buat tak endah berkenaan rampasan kuasa Sisi dan hanya mampu melihat hukuman yang melampau di Mesir ini walaupun di negara sendiri mereka menghapuskan hukuman mati.

Malang sekali, masih belum terdapat sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan Malaysia untuk mengutuk hukuman mati tersebut. Adakah ini kerana kerajaan BN berasa malu dengan penyalahgunaan mahkamah undang-undang tersendiri?Tambahan pula, perkara ini berlaku pada masa yang sama dengan krisis kemanusiaan Rohingya di Asia Tenggara di mana Malaysia masih belum bertindak mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan.

Sikap acuh tak acuh oleh Pengerusi ASEAN dan ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ini adalah amat mengecewakan.

Ini jauh berbeza dengan tradisi kita memperjuangkan keadilan di Afrika Selatan, Palestin, Bosnia Herzegovina, Negara Thai dan Filipina.

AMK menggesa kerajaan Malaysia untuk menekan kerajaan Mesir agar menarik semula hukuman-hukuman mati tersebut dan menggalakkan usaha ke arah pendamaian politik yang berkesan. Pada masa yang sama, kerajaan juga harus menggerakkan usaha serantau untuk menamatkan keganasan dan penindasan ke atas komuniti Rohingya di Myanmar dan mencari penyelasaian kemanusiaan di dalam isu pelarian itu.

Ayuh anak muda sertai kempen Selamatkan Tabung Haji

Dengan perkembangan semasa berkenaan kepincangan pengurusan 1MDB sehingga melibatkan wang amanah Tabung Haji, saya sebagai rakyat Malaysia dan juga seorang Muslim yang mencarum di tabung berkenaan terkesan untuk memanggil anak muda yang turut mengambil berat perihal yang membimbangkan ini untuk berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Tabung Haji Kuala Lumpur selepas solat Jumaat minggu ini dan menyokong kempen Selamatkan Tabung Haji.

Tindakan kerajaan UMNO-BN untuk menyentuh duit hasil penat lelah masyarakat Islam Malaysia bagi membayar hutang 1MDB. Adakah rakyat Malaysia patut bertanggungjawab di atas kerakusan kerajaan UMNO-BN? Sudah tentu tidak. Sama ada pembelian tanah, mahupun pembelian hutang 1MDB, isunya di sini adalah sebuah kerajaan yang tidak mengambil kira amanah dan kepentingan awam.

Apatah lagi, wang yang digunakan merupakan wang amanah untuk menunaikan salah satu rukun Islam. Apakah pimpinan UMNO yang sedia maklum semuanya terdiri daripada orang Islam tidak yang bersusah payah menabung merasakan perkara ini sudah melampau?

Saya percaya perkara ini telah membuka mata setiap pelusuk rakyat Malaysia, terutamanya anak muda, dan saya kira tindakan melampau ini haruslah dibantah sekeras-kerasnya.

Justeru sekali lagi saya ingin menjemput golongan anak muda untuk bersama AMK dan peserta kempen Selamatkan Tabung Haji di Ibu Pejabat Tabung Haji Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur Jumaat ini 15 Mei selepas solat Jumaat bagi menyuarakan bantahan terhadap kerakusan Kerajaan UMNO-BN.

Mari bangkit anak muda! Kita lawan penyelewengan dan kerakusan UMNO-BN!