Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Adakah Boikot Penyelesaian Sebenar?

Antara punca isu boikot barangan bukan Muslim ini ialah kedudukan ekonomi masyarakat Melayu, disemarak pula dengan kebimbangan kedudukan Islam dan Melayu selepas PRU14. Tetapi adakah boikot penyelesaian sebenar?

Masalah ekonomi orang Melayu bukan perkara baru. Dasar laissez-faire atau ekonomi pasaran bebas Kerajaan Perikatan gagal menyelesaikan kedudukan ini selepas Merdeka menjadi antara punca tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.

Selepas itu diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru, yang bermatlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Pada peringkat awal, DEB melibatkan pelaburan besar dalam pendidikan dengan peluang biasiswa yang meluas, termasuk ke luar negara serta pembinaan MRSM dan sekolah berasrama penuh. Ini menjadi tunjang kepada kelahiran kelas menengah Melayu.

Tetapi DEB hanya patut bertahan selama dua puluh tahun, bermakna tarikh luputnya adalah pada 1990. Namun bukan sahaja DEB bertahan, tetapi jurang antara Melayu kaya dan miskin juga bertambah.

Jika dahulu sebarang dasar pro-Melayu atau Bumiputera akan memberi manfaat kepada kelompok Melayu yang sebahagian besarnya ketinggalan dari aspek ekonomi, hari ini dasar ini yang hanya mengukur dari sudut kaum saja menguntungkan elit Melayu dengan peluang pendidikan dan ekonomi mereka yang lebih baik berbanding kelompok miskin bandar, kakitangan rendah kerajaan, peneroka FELDA atau nelayan.

Sebahagiannya, sebagaimana saya utarakan dalam buku saya Mendepani Zaman, adalah kerana kejayaan DEB sendiri di dalam melahirkan kelas menengah Melayu.

Lihat statistik pelaburan ASB, yang hanya boleh dicarum oleh masyarakat Bumiputera. 76.92 peratus, atau 7.4 juta pemegang unit mempunyai saiz unit bawah RM5,000 mengikut Laporan Tahunan ASB 2018. Hanya 0.24 peratus mempunyai saiz pegangan RM500,001 ke atas. 9.15 peratus pemegang unit melanggan 81.83 peratus jumlah unit atau lebih RM127.5 bilion! 7.4 juta pemegang unit terkecil hanya mempunyai simpanan RM4.1 bilion atau sekadar 2.65 peratus jumlah unit.

Antara ukuran jurang ekonomi ialah pekali Gini – 0 melambangkan kesaksamaan maksima di mana semua individu mendapat pendapatan yang sama manakala 1 adalah ketidaksamaan maksima di mana seorang individu mendapat semua pendapatan dan yang lain tidak ada apa-apa pendapatan. Wujud penambahbaikan jurang antara kaya dan miskin di Malaysia secara keseluruhan dari 1970 (0.513) hingga 2016 (0.399). Tetapi pekali Gini akaun ASB adalah 0.84!

Begitu juga statistik simpanan Tabung Haji. Fungsi utama Tabung Haji sebagaimana gagasan Profesor Diraja Ungku Aziz adalah untuk tabungan masyarakat Islam menunaikan ibadah haji, bukan sebagai pelaburan umum. Namun 50 peratus daripada jumlah simpanan Tabung Haji dicarum oleh 1.3 peratus pencarum sahaja. Seorang individu mencarum RM190 juta! Hamba Allah ini pada 2017, ketika Tabung Haji sebenarnya tidak boleh memberikan hibah mengikut Akta Tabung Haji kerana liabiliti melebihi aset, menerima hibah sebanyak lebih RM8 juta pada kadar hibah 4.5 peratus!

Statistik-statistik ini menunjukkan sungguhpun DEB melahirkan kelas menengah Melayu, tetapi jurang kaya-miskin Melayu juga makin melebar dan ini merupakan cabaran terbesar ekonomi hari ini. Kita gemar fokus jurang antara kaum, tetapi tidak melihat jurang sesama kaum itu sendiri.

Mengapa ini berlaku? Ini kerana model ekonomi negara masih dalam kerangka lama, iaitu model eksport dengan kadar upah yang rendah. Model ini biasa digunakan untuk ekonomi yang baru menapak hendak bersaing, tetapi untuk kekal kompetitif mereka tingkatkan produktiviti dan kadar upah, dengan menambah nilai dalam ekonomi mereka.

Ini transisi yang dilalui Korea Selatan, Taiwan dan Singapura – ekonomi-ekonomi yang suatu ketika dahulu berada pada tahap sama dengan Malaysia pada awal kemerdekaan.

Sebaliknya, kadar gaji dan upah di Malaysia dikekalkan rendah begitu lama, dan kita dapat bertahan sebahagiannya kerana dasar terbuka di dalam mengambil pekerja-pekerja asing. Namun pekerja-pekerja Malaysia – majoriti besar orang Melayu – menjadi mangsa apabila jurang pendapatan kaya-miskin semakin melebar.

Pada masa yang sama kita tidak boleh lupa bagaimana ekonomi kita menjadi mangsa rasuah dan salahguna kuasa yang bermaharajalela. Semua orang tahu skandal 1MDB yang melibatkan wang pembayar cukai termasuk ramai masyarakat Melayu biasa bukan sahaja untuk tujuan politik UMNO Barisan Nasional, malah untuk keluarga Datuk Seri Najib Tun Razak hidup mewah.

Adakah kita masih ingat kenyataan Najib pada 2009 daripada RM54 bilion saham yang diperuntukkan ke tangan Bumiputera, hanya RM2 bilion yang tinggal?

Skandal-skandal seperti YAPEIM dan Tabung Haji memberi gambaran seolah-olah tiada yang sakral atau suci bagi mereka yang terpalit dengan skandal ini. Ini termasuk dakwaan penyalahgunaan dana YAPEIM (yang melibatkan potongan gaji ramai orang Melayu biasa) untuk Menteri pada era Barisan Nasional ke luar negara, membeli barangan golf, pembayaran guaman Najib menggunakan dana untuk anak yatim dan lain-lain lagi. Malah, pengurusan tertinggi YAPEIM dari kalangan orang politik UMNO melantik keluarga mereka menjadi kakitangan dengan gaji mencecah RM80,000 sebulan.

Situasi Tabung Haji lebih serius lagi. Lebih RM549 juta kerugian disembunyikan manakala RM533 juta pula keuntungan palsu daripada penjualan saham Bank Islam kepada broker-broker tertentu yang kemudian dibeli semula oleh Tabung Haji. Sehingga 30 September 2018, RM436 juta dividen anak syarikat direkodkan Tabung Haji, tetapi tidak dibayar kepada Tabung Haji. Antara puncanya adalah penyelewengan anak syarikat mereka, TH Heavy Engineering.

PAS, yang memberi sokongan kepada kempen boikot ini, pernah membuat kunjungan kepada pengurusan 1MDB dan Tabung Haji ketika mula berjinak-jinak dengan UMNO, dan memberikan kenyataan mereka berpuashati dengan alasan pengurusan kedua-dua syarikat ini. Parti Melayu Islam pembangkang yang sepatutnya memainkan peranan sebagai pihak semak dan imbang, memberikan cop sah atas tujuan politik semata-mata, bukan berpandukan jalur hukum ataupun integriti. Di mana pemimpin PAS, Ahmad Dusuki Abdul Rani ketika isu ini, sedangkan beliau paling lantang dalam isu boikot barangan bukan Muslim?

Untuk bergerak ke hadapan, kita ada pilihan. Adakah kini hanya ingin dibuai sentimen atau menyelesaikan isu sebenar kemelut ekonomi orang Melayu? Jangan kerana asyik bergaduh isu emosi, negara seperti Vietnam memintas kita dari aspek ekonomi dan Malaysia terus-menerus terpinggir kerana model ekonomi yang ketinggalan mahupun penyelewengan termasuk di dalam institusi yang menggunakan nama Islam.

Kita perlu membebaskan kelas 20 peratus teratas Melayu (T20) untuk bersaing dengan kaum-kaum lain sementara memberi sokongan kepada golongan miskin bandar, kaum tani dan pekerja bawahan yang majoriti besarnya orang Melayu dan Bumiputera. Golongan T20 Melayu tidak lagi patut mengambil banyak faedah untuk golongan pertengahan dan bawahan kaum mereka sendiri.

Misalnya, kerajaan perlu memikirkan sama ada akaun-akaun ASB yang lebih daripada had pelaburan RM200,000 boleh melabur semula dividen atau hanya mengutamakan akaun-akaun dibawah nilai itu yang merupakan majoriti yang besar. Kini, pelaburan dihadkan pada RM200,000, tetapi akaun masih boleh memungut dividen yang boleh dilaburkan di atas nilai tersebut, yang hanya memanfaatkan elit Melayu yang sangat kecil.

Tabung Haji juga wajar dihadkan sebagai simpanan haji pada kadar muassasah, bukan tabung pelaburan umum. Pada 2019 kos haji muassasah adalah RM22,900 dan subsidi Tabung Haji adalah RM12,920. Maka mereka yang menunaikan ibadah haji hanya perlu menabung RM9,980.

GLC-GLC yang bukan teras dan banyak bertindan fungsinya di peringkat Persekutuan dan Negeri boleh dirasionalisasikan menerusi MBO untuk pengurusan, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Majoriti besar pengurusan GLC terdiri daripada masyarakat Bumiputera. Dengan ini mereka akan terdedah kepada dunia pasaran, membina ekuiti dan sektor kerajaan tidak akan membolot pasaran kewangan.

Saya yakin cadangan ini juga timbulkan kontroversi. Tetapi jika kita tidak bersedia berdepan dengan isu-isu ini secara jujur, lebih gemar membakar emosi untuk keuntungan politik jangka masa pendek, orang Melayu dan Islam biasa (baca: majoriti besar di antara kita yang berdebat di media sosial dan kedai mamak) akan terus ketinggalan.

Banyak lagi saya tulis dalam buku saya, Mendepani Zaman: Melayu untuk Abad ke-21 yang pertama kali terbit pada 2009 dan akan diterbitkan semula oleh Karangkraf dengan prakata dan catatan tambahan baharu beberapa minggu saja lagi.

Imej mungkin mengandungi: 1 orang, tersenyum, teks