Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Menteri Pertahanan menyatakan apakah dasar terkini Kerajaan terhadap kes buli di kalangan tentera dan tindakan yang diambil untuk mengatasinya.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pertahanan memandang serius terhadap sebarang kejadian berunsur penganiayaan dan penderaan seperti kes buli di kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tidak akan berkompromi terhadap pelaku-pelaku yang dibuktikan bersalah.

Di peringkat Perkhidmatan Darat, Laut dan Udara, usaha bagi membendung gejala ini dilaksanakan dengan senantiasa mengeluarkan pengarahan dan peringatan terhadap warga tentera untuk menjauhkan diri daripada perbuatan buli dan kesan negatif yang bakal dihadapi oleh pelaku.

Justeru, berhubung dengan soal kes buli di kalangan warga tentera, sekiranya didapati berlaku, tindakan tatatertib yang tegas di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 akan dikenakan oleh Perkhidmatan ke atas pelaku. Manakala bagi kes-kes buli yang menyebabkan berlakunya unsur jenayah dan pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan, tindakan susulan akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Awam.

Warga tentera yang terlibat dalam kes buli, setelah didakwa dan disabitkan atas kesalahan samada oleh Perkhidmatan atau Mahkamah Awam akan ditamatkan perkhidmatan di bawah Peraturan-Peraturan Angkatan Tentera (Terma-Terma Perkhidmatan bagi Angkatan Tetap) 2013 atas sebab salah laku serta berhadapan dengan risiko tidak layak untuk menerima pencen, ganjaran perkhidmatan dan faedah-faedah pemberhentian lain.

Sekian, terima kasih.

Share This