Setelah permohonan maaf Datuk Zahidi Zainul Abidin, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia akibat tindakannya memfitnah Veveonah, saya fikir hal ini sudah berakhirnya.

Rupa-rupanya serangan terhadap Veveonah masih lagi berlaku, kali ini Ahli Parlimen Kudat telah mengulas panjang lembar mengatakan Veveonah berbohong, walaupun sudah banyak bukti dikemukakan oleh warga Universiti Malaysia Sabah yang menunjukkan Veveonah memang perlu menjawab peperiksaan ketika itu.

Veveonah sedang berusaha dalam pengajian asasinya, supaya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Ia adalah usaha yang perlu dipuji.

Jika kita imbas, timbalan menteri yang sedang mempersoalkan usaha Veveonah, Datuk Zahidi ini diketahui umum mempunyai kelulusan akademik yang meragukan. MBA yang dikatakan dimilikinya diragukan memandangkan Global University adalah institusi khusus teologi Kristian.

Veveonah bukanlah ahli politik yang sedang menggugat kerajaan, sehingga beliau perlu diserang bertubi-tubi.

Kita sedang bercakap tentang seorang pelajar yang masih muda, dan berkemungkinan masih belum biasa menghadapi serangan-serangan seperti ini. Tindakan ahli-ahli politik
yang bermati-matian cuba membunuh karakter Veveonah cukup memalukan.

Sudah tentu ada sebahagian warganet yang akan menggunakan hujah-hujah mereka untuk melakukan buli siber terhadap Veveonah.

Cukuplah tempoh 4 jam tempoh hari (sebelum permohonan rasmi timbalan menteri) menjadi bukti betap ramainya orang menghina dan mencaci Veveonah. Media-media gergasi turut mengutip laporan itu, sebelum menurunkannya semula setelah timbalan menteri meminta maaf.

Masalah Internet di Sabah bukanlah hal yang tidak berasas. Masih banyak tempat di kawasan pedalaman Sabah yang belum mempunyai akses kepada Internet. Mengapa bukan ini yang menjadi perhatian mereka berdua?

Kecelaruan yang berlaku disebabkan arahan yang tidak jelas dari Kementerian Pendidikan Tinggi semasa tempoh awal Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan ada pelajar “panik” dan pulang ke kampung halaman.

Hal ini perlu diperhalusi oleh Ahli Parlimen Kudat ketika bertanya pensyarah UMS yang mempersoalkan tindakan Veveonah pulang ke kampung.

Sudah masanya timbalan menteri berganjak dari isu ini, hentikan usaha untuk menegakkan benang yang basah. Veveonah cuma seorang pelajar, bukan ahli politik yang perlu diserang seperti ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
JURUCAKAP PARLIMEN KEADILAN BAGI PENDIDIKAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This