Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan baru-baru ini berkata penguasaan bahasa Inggeris yang lemah adalah sebab utama graduan Bumiputera sukar mendapatkan pekerjaan di sektor swasta.

Ini bukan dakwaan baharu, Shamsuddin pernah mengemukakan hujah yang sama untuk menjawab persoalan yang hampir sama pada tahun 2018.

Saya tidak menafikan bahawa penguasaan bahasa Inggeris adalah kemahiran penting yang diperlukan oleh semua rakyat Malaysia. Ia berharga dan mempunyai kepentingan tersendiri. Saya juga tidak menafikan bahawa ini adalah masalah yang dihadapi oleh kebanyakan graduan Malaysia – tanpa mengira bangsa atau agama.

Namun, ia hanyalah salah satu daripada masalah yang kita hadapai. Masalah penguasaan bahasa Inggeris mungkin isu yang besar, tetapi sekali lagi saya tegaskan, itu hanya satu daripada pelbagai masalah yang ada.

Ia amat berbahaya untuk mengambil pendekatan simplistik dalam isu yang kompleks, lebih-lebih lagi menyalahkan mereka yang menjadi mangsa keadaan.

Hakikatnya pasaran buruh di Malaysia menjadi lebih mencabar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Keadaan mencabar ini kemungkinan akan ditambah dengan kemelesetan ekonomi yang akibat pandemik Covid-19.

Walaupun pekerjaan masih wujud, tetapi jika tidak ada gaji yang baik, atau lebih tepatnya, jika pekerja tidak diberikan peluang untuk berkembang, hanya buruh migran yang murah yang akan mengambil peluang pekerjaan seperti itu.

Anda tidak boleh meminta pekerja menerima pekerjaan dengan gaji rendah yang akhirnya menyebabkan mereka tidak mampu menyimpan dan membina keluarga.

Kajian akademik seperti “Degrees of Discrimination: Race and Graduate Hire in Malaysia” pada tahun 2016 oleh Dr Muhammed Abdul Khalid dan Dr Lee Hwok Aun telah menunjukkan bahawa terdapat isu diskriminasi sektor swasta terhadap graduan Bumiputera.

Shamsuddin turut mengatakan hal yang kontradik dengan dirinya sendiri ketika dia dilaporkan berkata: “Tidak perlu takut atau malu kerana jika mereka bertambah baik, mereka akan mendapat manfaat dari itu. Syarikat kemudian dapat mengajar mereka kemahiran lain.”

Bagaimana graduan Bumiputera seharusnya memperoleh kemahiran di tempat kerja sedangkan mereka tidak akan mendapat pekerjaan kerana isu Bahasa Inggeris? Saya tidak mengatakan bahasa Inggeris tidak penting atau harus diabaikan.

Adakah majikan wajib mengambil pekerja yang tiada kelebihan langsung? Sudah tentu tidak.

Hujah yang ingin saya kemukakan ialah terdapat perbezaan perspektif mengenai isu pengangguran siswazah Bumiputera, selain hanya memakai hujah kemahiran berbahasa Inggeris yang lemah.

Perkara yang sama dapat dinyatakan untuk cabaran yang dihadapi graduan dari semua kaum di Malaysia. Menyelesaikan dilema ini memerlukan penyelesaian menyeluruh — termasuk merombak sistem pendidikan kita, memastikan pertumbuhan gaji yang adil dan memberi insentif kepada syarikat untuk terus meningkatkan serta mengembangkan tenaga kerja mereka untuk meningkatkan produktiviti.

Semua ini akan terus berlaku sekiranya kita masih mempunya naratif tanggungjawab hanya terletak di bahu pekerja untuk memperbaiki diri tanpa bantuan daripada pihak kerajaan atau swasta.

Hal ini tidak realistik dan akan merugikan semua pihak – termasuk pemilik perniagaan dalam tempoh masa panjang. Oleh itu, pendirian MEF umpama sedang berjalan ke lembah curam sambil menutup mata. Cuma ia bukanlah satu kenyataan yang mengejutkan, mereka selalu mencari jalan untuk menyalahkan pekerja berbanding menghadapi masalah sebenar.

Adalah sangat malang jika kerajaan saat ini memandang serius idea-idea yang salah dan berbahaya — terutamanya jika ia mempengaruhi dasar-dasar kerajaan yang penting yang sangat diperlukan untuk mengatasi masalah pengangguran yang semakin meruncing.

NIK NAZMI NIK AHMAD
JURUCAKAP PARLIMEN KEADILAN BAGI PENDIDIKAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This