Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam satu kenyataan beliau baru-baru ini meminta kesepakatan bersama daripada semua pihak termasuklah parti-parti pembangkang untuk memberi sokongan terhadap Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selepas gelombang pertama Covid tahun lepas, negara kita mengalami sedikit lonjakan ekonomi namun faedahnya tidak sekata. Pengangguran meningkat sebanyak 5.3 peratus selepas PKP 1.0, dan sudah pasti kita menjangkakan kadar pengangguran kini adalah lebih tinggi.

Maka begitulah kitaran selepasnya, PKP 2.0, 3.0 dan seterusnya – Kita masih berdepan dengan kadar COVID-19 yang semakin tinggi dan kesannya juga semakin parah. Tidak cukup dengan krisis kesihatan dan ekonomi, bertambah pula krisis lain seperti krisis politik dan demokrasi.

Laporan Survei Gaji dan Upah 2020 oleh Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa purata gaji dan upah bulanan menurun sebanyak 9.0 peratus (RM2,933 daripada RM3,224), dan merupakan penurunan pertama sejak 2010. Penengah (median) gaji dan upah bulanan pula menurun 15.6 peratus (RM2,062 daripada RM2,442) dan impak terbesar dipercayai lebih terkesan kepada pekerja separa mahir.

Kita turut berdepan dengan jangkaan penurunan pertumbuhan perbelanjaan isi rumah yang semakin ketara, dan ini memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK. Namun dalam hal ini, kerajaan seolah-olah dalam penafian apabila terlalu bergantung pada ketidakpastian ramalan pertumbuhan ekonomi yang baik.

Usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula gulung tikar satu demi satu. Tabungan mereka semakin menyusut, justeru apa langkah yang sewajarnya untuk meminimakan kadar penyusutan kewangan golongan sebegini untuk memastikan kelangsungan harian mereka terus terjamin?

Share This