Perdana Menteri telah mengumumkan Ahli-ahli Parlimen layak diberi vaksin Covid-19 pada peringkat pertama yang akan berlangsung pada akhir bulan ini.

Sebagai ahli Parlimen, saya menyambut baik pengumuman ini. Secara peribadi, saya lebih cenderung kepada pandangan kumpulan barisan hadapan seperti pekerja kesihatan, pegawai polis dan guru menerima vaksin terlebih dahulu.

Namun, saya juga memahami bahawa kami mempunyai tanggungjawab untuk memberi keyakinan kepada masyarakat supaya mereka tidak ragu untuk menerima vaksin kelak.

Dengan memberi vaksin kepada Ahli-ahli Parlimen, Kerajaan tidak ada alasan lagi untuk meneruskan Darurat dan pengantungan Parlimen. Lagipun, hampir semua sektor ekonomi telah dibuka.

Prinsip yang sama harus diterapkan di Parlimen, kami sepatutnya dapat mengadakan perjumpaan untuk membincangkan hal-hal Rakyat dengan mematuhi SOP yang ketat seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Tugas yang paling penting sebagai wakil rakyat adalah mewakili kawasan Parlimen dengan mengemukakan isu-isu yang mereka hadapi dan memastikan dasar-dasar kerajaan diperdebatkan.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This