Melihat keadaan semasa, nampaknya serangan terhadap Palestin di Sheikh Jarrah, Baitul Muqaddis; Gaza dan di tempat lain masih berlaku.

Walaupun tragedi kemanusiaan ini menimpa rakyat Palestin pada Aidilfitri, ia cukup mengharukan untuk melihat rakyat Malaysia dari semua agama, bangsa dan lapisan masyarakat bersatu bagi menunjukkan solidariti kepada Palestin.

Ini menunjukkan sifat sebenar rakyat Malaysia: walaupun dengan kesukaran yang kita hadapi kerana pandemik Covid-19, kita masih dapat bersatu menentang penindasan!

Seperti yang kita tahu, tindakan kejam Israel dalam usaha mengusir penduduk Palestin dari tanah mereka sendiri dengan menggunakan tentera telah dikecam di peringkat global.

Selagi sekutu Israel, termasuk Amerika Syarikat bersama sekutu-sekutu Arab Muslim mereka di Timur Tengah berdiam diri, mereka akan terus melakukan kekejaman terhadap penduduk Palestin.

Kita tidak boleh putus asa memperjuangan hak-hak rakyat Palestin walaupun terdapat banyak halangan dan rintangan. Kita harus tetap teguh bersolidariti dengan rakyat Palestin dalam masa-masa yang mencabar ini.

Kita tidak perlu ragu akan usaha kita, sama ada memprotes secara dalam talian untuk menyebarkan kesedaran mengenai perjuangan Palestin. Andainya tidak mampu memberikan sumbangan material, biarlah doa yang dihantarkan kepada masyarakat Palestin, semoga ia membantu mewujudkan keadilan di Timur Tengah.

Kuncinya adalah meneruskan usaha, tidak putus asa dan tidak pernah goyah. Kita mesti meneruskan aktivisme damai kita dan menekan masyarakat antarabangsa untuk memastikan keamanan yang adil dan berkekalan muncul, yang akhirnya menghasilkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaya maju.

Kepada saudara-saudara kami di Palestin: anda tidak keseorangan dalam waktu yang sukar ini. Rakyat Malaysia ada bersama anda.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This