Bila bincang bab Rohingya ada dua kelompok yang menampilkan prejudis yang luar biasa di Malaysia. Soal kita hendak terima atau tidak ada perkara kedua. Begitu juga sekiranya kita terima hari ini ketika wabak Covid, apakah mekanisme yang terbaik untuk membantu mereka.

Tetapi bahasa yang kita gunakan terhadap kelompok yang ditindas ini menggambarkan diri kita yang sebenar.

Satu ialah segelintir ekstremis Buddha yang terpengaruh dengan sentimen rasmi kerajaan Myanmar dan masyarakat Burma di sana dan menampilkan unsur-unsur Islamofobia.

Tapi yang lebih mengecewakan adalah sebilangan saudara kaum dan agama yang sama dengan saya – orang Melayu Islam.

Ketika Pakatan Harapan memerintah, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menerangkan meskipun kerajaan tidak berhasrat menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, kerajaan berhasrat untuk memperbaiki bantuan untuk pelarian termasuk kesihatan, pendidikan dan permit pekerjaan.

Hari ini, Saifuddin masih lagi sebahagian dari Kabinet Perikatan Nasional. Saya harap perkara ini dapat disambut oleh kerajaan baru yang dikatakan berpaksikan Melayu-Islam.

Dulu, pernah jadi isu pada 2015 ketika Kerajaan Pusat BN mengkhususkan pelarian Rohingya ditempatkan di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri PH mengatakan mereka tidak mampu melakukannya di atas tanah milik kerajaan negeri dan minta berbincang untuk tempatkan di tanah milik kerajaan persekutuan.

ISMA terus menghentam mengatakan sikap ini menggambarkan sikap rasis DAP.

Kita masih ingat ketika menjadi PM, Datuk Seri Najib Razak menggambarkan pada dunia dia menjadi hero isu Rohingya. Misi Food Flotilla for Myanmar pada 2017 dikatakan menggambarkan penyatuan UMNO-PAS. Waktu itu, kata Najib, ini soal kemanusiaan, bukan soal politik.

Kerajaan BN juga mulakan projek perintis benarkan pelarian Rohingya pemegang kad UNHCR bekerja.

Hari ini, dua-dua berubah nada. Najib dan ISMA katakan tiada keperluan terima pelarian Rohingya di Malaysia. Kalau kerajaan PN buat tak rasis pula?

Acapkali di masjid, kita berdoa untuk saudara-saudara seIslam kita yang ditindas. Tumpuannya seringkali tentulah Palestin, tetapi juga Rohingya, Syria, Yaman, Uyghur dan lain-lain lagi.

Doa-doa juga. Kalau nak bantu pun susah, jangan sesekali bila mereka datang minta tolong, kita hina mereka.

Krisis pelarian Syria menggambarkan sikap prejudis ramai masyarakat di Eropah. Tetapi bukan saja negara Islam seperti Turki dan Jordan memainkan peranan penting membantu pelarian-pelarian Syria, tetapi Jerman serta Kanada juga tunjukkan keberanian moral untuk menerima kehadiran pelarian Syria.

Ramai rakyat mereka menunjukkan sikap prejudis terhadap pelarian Syria yang majoriti besarnya beragama Islam. Tetapi Angela Merkel di Jerman dan Justin Trudeau di Kanada tunjukkan keberanian moral dan sikap perikemanusiaan.

Kita yang Islam ni hidup sentiasa mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. Maka kita juga seharusnya menunjukkan sikap yang baik terutamanya golongan yang dizalimi seperti orang Rohingya.

Kita harus ingat, Islam tekankan kita berlaku adil, dan bersifat baik bukan saja kepada orang Islam, malah makhluk Allah.

Jangan lupa, kita dalam bulan Ramadan. Ini bukan saja bulan untuk kita perbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t., tetapi pengalaman berlapar dan dahaga sepatutnya jadikan kita peduli tentang nasib saudara kita yang kurang bernasib baik.

Share This