Setahun lepas negara dikejutkan dengan Langkah Sheraton.

Puncanya ada usaha untuk memungkiri janji muafakat Pakatan Harapan, kemudian keangkuhan Mahathir bahawa beliau mampu memerintah tanpa memerlukan parti dan akhirnya pengkhianatan Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional.

Pada masa yang sama wabak Covid-19 baru bermula ketika kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan. Kini virus itu telah tersebar luas, meninggalkan kesan yang besar dalam segenap aspek ekonomi dan melahirkan Generasi Covid-19 yang berhadapan cabaran besar dari segi pendidikan dan pekerjaan.

Rakyat menyaksikan negara dua darjat di antara Menteri dan marhaen serta perebutan wakil rakyat mendapatkan jawatan lumayan. Respon kesihatan, pendidikan dan ekonomi cacamarba dan kelam-kabut.

Inilah kesan Kerajaan pintu belakang yang tidak dipilih oleh rakyat menerusi jalan demokrasi. Kerajaan ini tidak faham kemelut rakyat, malah tidak merasakan sebarang tanggungjawab terhadap rakyat, sebaliknya cuma mencari jalan mengekalkan kuasa dengan apa jua cara sekalipun.

Pengkhianatan ini tidak boleh dilupakan mahupun dimaafkan.

Namun Pakatan Harapan dan KEADILAN juga harus melangkaui Langkah Sheraton dan bekerja keras berkhidmat untuk rakyat manakala menawarkan penyelesaian yang terbaik untuk negara kita yang dilanda malapetaka Covid-19 dan krisis sosio-ekonomi yang berkaitan.

Share This