Pembangkang tidak harus fokus pada jawatan tetapi mempertahankan kepentingan rakyat dalam masa-masa getir ini.

Kita tidak seharusnya terus mengungkit pertikaian lama tetapi fokus pada masa hadapan. Kita tidak boleh menafikan bahawa kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum 2018 bukanlah usaha mana-mana individu atau parti secara bersendirian.

Ia adalah usaha kolektif, dengan pengorbanan orang ramai, dan akhirnya membuahkan hasil kerana sokongan rakyat Malaysia.

Rakyat menyokong kita kerana manifesto Buku Harapan dan janji kita bahawa peralihan kuasa akan berlaku. Itulah yang mengalahkan Barisan Nasional. Itulah sebabnya KEADILAN memenangi 47 kerusi Parlimen, DAP 42 kerusi, BERSATU 13 kerusi, AMANAH 11 kerusi dan sekutu kita WARISAN 8 kerusi dalam pilihan raya itu.

Sekali lagi, kita tidak seharusnya sibuk dengan pertanyaan siapa calon Perdana Menteri kita yang seterusnya. Setiap pihak telah menyatakan pendirian masing-masing. Ketua Pembangkang di Parlimen juga telah dipilih. Hakikat ini harus dihormati.

Yang penting adalah parti-parti dalam Pembangkang menumpukan perhatian kepada usaha untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab di atas tindakannya dan memastikan ada dasar-dasar yang baik untuk memudahkan pemulihan ekonomi.

Kita dihantar ke Parlimen untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai pekerjaan, pendidikan, bantuan dan peluang yang selayaknya.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This