Pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) telah mengeluarkan kenyataan berkenaan kontroversi terkini yang berlaku sepanjang pemilihan parti KEADILAN.

Saya menggesa kepada semua anggota parti untuk kekal tenang.

Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, tiada rumusan boleh dilakukan berkenaan hal ini sehingga pengumuman rasmi berkenaan keputusan pemilihan ini dilakukan.

Meskipun begitu, pimpinan parti mesti mengambil perhatian terhadap pelbagai aduan yang telah diutarakan berkenaan proses pemilihan ini secara keseluruhan, tidak kira anggota dan calon regu mana sekalipun.

Kita tidak boleh hanya memetik satu atau dua cabang yang berpihak kepada satu pihak tetapi pimpinan parti mesti mengkaji semula seluruh proses pemilihan.

Harus diingatkan disini bahawa anggota dari pelbagai latar belakang, kaum dan juga agama telah turun untuk mengundi pada pemilihan ini. Undian dilakukan berdasarkan idealisme bukannya warna kulit atau kepercayaan. Kita seharusnya bangga dengan apa yang telah dicapai oleh KEADILAN yang merupakan parti berbilang kaum yang paling berjaya dalam sejarah Malaysia.

Justeru, pihak JPP seharusnya mengambil langkah-langkah yang sesuai bagi memastikan ketelusan dan integriti pemilihan parti bukan sahaja pemilihan pada tahun 2018 ini tetapi juga pada masa hadapan.

Pihak JPP dan KEADILAN mesti peka dengan aspirasi dan harapan seluruh rakyat Malaysia.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This